Durian runtuh, pembida aset sajat menang lelong RM42,000

Durian runtuh, pembida menang lelong aset sajat RM42,000. Pemenang lelongan aset dan barang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman disifatkan mendapat durian runtuh apabila memenangi sesi bidaan dengan bayaran harga serendah RM42,000 .

Sebelum ini, lelongan harta usahawan itu menutup bidaan pada harga RM132,000, namun gagal menerima pembayaran selepas pemenangnya menghilangkan diri.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan berkata, seramai tiga pembida menyertai lelongan tersebut yang dilakukan untuk kali kedua pada hari ini.

“Sesi lelongan itu dimulakan dengan bukaan harga RM60,000, namun diturunkan kepada RM50,000 dengan kenaikan sebanyak RM5,000 untuk setiap bidaan.

“Bagaimanapun, tiada pembida yang membuat bidaan dan kami perlu menurunkan harga lelongan kepada RM40,000 dengan kenaikan sebanyak RM2,000,” katanya kepada pemberita selepas sesi bidaan di kediaman Sajat di Kota Damasara di sini tadi.

Katanya, pembida bernama Chai Liong Huat yang berusia 67 tahun berjaya memenangi bidaan itu selepas tawaran ditutup pada harga rendah iaitu RM42,000.

“Beliau juga sudah membuat bayaran penuh, tiada isu pembida lari seperti sebelum ini. Proses bidaan kali ini dianggap selesai,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada 22/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)