‘Durian RM30’ : SPRM panggil Kula dan Jeremy

SPRM

‘Durian RM30’ : SPRM panggil Kula dan Jeremy.Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak akan memanggil Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran bagi membantu siasatan berhubung pendedahannya mengenai tawaran wang RM30 juta dan jawatan sebagai menteri.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, selain Kulasegaran, pihaknya juga akan memanggil setiausaha sulitnya, Jeremy Chuah untuk dirakam percakapan.

Katanya, kedua-dua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Saya sahkan ada menerima kes rujukan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan tersebut dan siasatan akan dijalankan segera.

“Kita akan memanggil Kulasegaran dan beberapa pihak lain termasuk setiausaha sulitnya untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 SPRM

Dalam laporan media pada Sabtu lalu, Kulasegaran yang merupakan Ahli Parlimen daripada DAP itu mendakwa ditawarkan jawatan sebagai menteri dan sejumlah wang untuk menukar sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tawaran yang juga melibatkan peruntukan penuh untuk Parlimen Ipoh Barat itu didakwa diterima melalui aplikasi WhatsApp di telefon bimbit milik Jeremy.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada SPRM Perak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, selain laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, dua lagi laporan telah dibuat masing-masing di Kedah dan Pulau Pinang berkaitan perkara sama.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan bagi mengelak daripada mengganggu siasatan,” katanya.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/dakwaan-sogok-jawatan-menteri-sprm-panggil-kula-dan-jeremy/

BACA: Panas !!! Ini pula alasan Khairy bila Umno arah letak jawatan