DUN Selangor lulus RUU LUAS demi jamin bekalan air terbaik untuk rakyat

DUN Selangor lulus RUU LUAS demi jamin bekalan air terbaik untuk rakyat

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) (Pindaan 2020) selepas mendapat sokongan daripada majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semalam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 itu bertujuan untuk meminda beberapa seksyen dan memasukkan beberapa seksyen baharu ke dalam enakmen sedia ada.

“Cadangan pindaan ini bertujuan untuk menambah baik peruntukan sedia ada supaya urus tadbir pengurusan dan pentadbiran LUAS menjadi lebih baik selain dapat meningkatkan tindakan perundangan dan penguatkuasaan.

“Bagi memastikan pindaan terhadap enakmen tersebut mencapai tujuan yang disasarkan, LUAS telah melaksanakan beberapa sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dari universiti tempatan dan juga pihak industri daripada pelbagai sektor,” katanya semalam.

Katanya, sesi libat urus itu adalah bagi mendapatkan pandangan dan cadangan berhubung dengan pindaan Enakmen tersebut yang kemudiannya telah dianalisa dan dimurnikan menjadi perkara dasar.

“Perkara-perkara dasar yang menjadi asas kepada pindaan yang telah dibuat terhadap enakmen tersebut telah dikaji dari sudut perundangan dan penguatkuasaan oleh Jawatankuasa Semakan Semula Enakmen LUAS 1999 (Jawatankuasa Semakan) yang telah ditubuhkan berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Lembaga LUAS Bil. 3/2019 pada 14 Mei 2019.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor (JPKSAS) memohon supaya LUAS mengambil kira unsur pencemaran bau di dalam Seksyen 79 sedia ada dan juga menaikkan jumlah hukuman denda yang boleh dikenakan,” katanya.

Tambahnya, ia selaras dengan titah Sultan Selangor sewaktu sesi Pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor yang ke-14 Tahun 2019, Penggal Kedua pada 18 Mac 2019.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/109379/EDISI/Selangor-KL/DUN-Selangor-lulus-pindaan-RUU-Lembaga-Urus-Air-Selangor

COMMENTS