Menerima dan memberi “duit minyak” atau upah logistik juga dikira sebagai rasuah, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang semalam.
Lim ketika mengulas gambar tular seorang individu memakai baju berlogo Pakatan Harapan mengagihkan wang kepada beberapa individu lain berkata individu berkenaan adalah seorang sukarelawan Impian Malaysia dan wang yang diagihkan itu adalah bayaran balik kos petrol para sukarelawan.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyatan sebelum ini memberitahu upah logistik dikira sebagai korupsi,” katanya kepada pemberita di Kampung Jawa, Shah Alam hari petang tadi.
“Jadi, Lim perlu jelaskan apa yang beliau katakan dan apa yang beliau lakukan.”
Sebelum ini, Lim dilapor berkata sukarelawan yang mengagihkan duit itu ditugaskan untuk menguruskan Orang Asli daripada pelbagai kampung yang datang menaiki motosikal untuk hari penamaan di Tanah Rata.
“Terdapat 60 penunggang motosikal dan beliau membuat pembayaran balik sebanyak RM20 setiap seorang,” kata pemimpin DAP itu.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dipetik Sin Chew Daily berkata, penawaran sebarang bentuk dorongan, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.
Beliau memberi contoh calon atau ahli parti politik menawarkan elaun kepada pengundi untuk mengundi mereka, walaupun hanya RM50 ialah tindakan merasuah.
Sementara itu, Najib di Facebook berkongsi laporan Malaysiakini 30 November lalu mengenai keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Barisan Nasional di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum lalu.
Beliau menunjukkan petikan mengatakan pemberian duit oleh calon ketika itu, dalam bentuk minyak atau duit rokok, tetap rasuah kerana ia diberi untuk mendorong pengundi mengundi.
Kemenangan BN di Cameron Highlands terbatal dan tidak sah selepas mahkamah memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.
“Begitulah pendapat hakim,” kata Najib.
Sumber Asal :www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/01/14/duit-minyak-juga-rasuah-najib-beritahu-kit-siang