Dua golongan yang dilarang keras makan durian

Dua golongan yang dilarang keras makan durian

Dua golongan yang dilarang keras makan durian.

BAGI penggemar durian terutama musang king, udang merah dan duri hitam, mereka tidak kisah membayar harga yang mahal semata-mata untuk menikmati keenakan raja buah itu.

Keenakan dan aroma buah durian boleh membuatkan seseorang tidak keruan, malah ada yang siap menabung sejak awal tahun untuk membeli buah itu pada musimnya.

Bagaimanapun, ramai tidak sedar bahawa buah durian sebenarnya mampu meragut nyawa jika tersalah makan.

dua golongan

Benar, buah durian memiliki pelbagai khasiat seperti vitamin C, B2 dan B9, phytonutrient dan antioksidan yang tinggi.

Namun, individu tidak disaran untuk memakan durian pada kadar yang berlebihan terutama mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Menurut Pakar Dietitian daripada Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim, terdapat dua individu yang tidak digalakkan atau tidak dibenarkan langsung untuk makan durian iaitu penghidap kencing manis (diabetes) dan pesakit buah pinggang kronik.

Menurut Farah, penghidap diabetes masih boleh memakan buah durian, namun tidak boleh lebih daripada dua ulas.

“Ini kerana buah durian mengandungi kandungan gula yang sudah mencukupi untuk pengambilan seharian.

“Untuk pesakit buah pinggang kronik pula, mereka tidak dibenarkan langsung untuk makan buah tersebut termasuk individu yang menjalani rawatan dialisis,” katanya.

Jelasnya, pesakit buah pinggang dikategorikan kepada lima tahap iaitu tahap satu hingga tahap lima. Tahap kronik merujuk kepada tahap empat dan lima.

“Hal ini kerana, buah pinggang pesakit tidak mampu untuk menapis kandungan kalium (potassium) tinggi yang terkandung dalam buah durian sekali gus menyebabkan kandungan kalium dalam darah meningkat.

“Untuk pesakit buah pinggang kronik, pengambilan buah itu walaupun satu ulas adalah sangat berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Ujar Farah, banyak kes kematian dalam kalangan pesakit buah pinggang berlaku adalah disebabkan mereka memakan buah durian atau mengambil makanan yang tinggi kandungan kalium sehingga pengamal perubatan menggelar buah durian sebagai ‘killer fruit’ untuk pesakit buah pinggang.

Pensyarah Kanan Program Dietetik, Pusat Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nur Hana Hamzaid berkata, kandungan kalium sebenarnya penting untuk mengawal saraf dan otot terutamanya jantung.

“Namun, jika kandungan kalium dalam darah tinggi, kan­dungan yang berlebihan akan membuatkan degupan jantung menjadi tidak konsisten dan boleh berhenti secara tiba-tiba.

“Kalium adalah mineral yang boleh didapati dalam kebanyakan makanan. Buah pinggang pula berperanan untuk mengawal jumlah kalium yang betul di dalam tubuh badan. Buah pinggang yang rosak menyebabkan bahan mineral itu terkumpul dalam darah,” ujarnya.

Individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan boleh menikmati buah durian, namun hanya memadai untuk memakan lima ulas sahaja sehari mengikut konsep Pinggan Sihat Malaysia.

Katanya lagi, jika melihat pada sumbangan serat, lima ulas buah durian sudah cukup untuk ke­perluan menyamai pengambilan dua biji buah-buahan lain.

“Perlu diingat lima ulas durian itu adalah empat hingga lima kali lebih tinggi daripada sebiji buah epal,” katanya.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/17/awas-berpada-pada-makan-buah-durian-2/

BACA JUGA : Gempar !!! Caprice bakal buat pendedahan besar, ramai teruja