Dua ADUN PN kekal menjadi pembangkang di Melaka

adun

Dua ADUN PN kekal menjadi pembangkang di Melaka.Dua Ahli Dewan Undangan Negeri Perikatan Nasional (PN) yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini tidak menyertai kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Dr. Mohd. Aleef Yusof (ADUN Sungai Udang) dan Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (ADUN Bemban) kekal sebagai ADUN biasa.

Menurutnya, dua ADUN itu telah diberikan nasihat agar menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat.

“Mereka tidak berada dalam kerajaan, mereka ADUN biasa tapi mereka ada tanggungjawab khasnya menyokong dasar-dasar baik kerajaan negeri.

“Namun mereka juga akan bersuara jika ada perkara tidak baik yang memburukkan kerajaan negeri, mereka kena laksanakan sebagai tugas ADUN,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Derma Darah Perak Foodbank Bersama Kiwanis Jelapang di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, setelah pelantikan exco kerajaan negeri Melaka, segala politiking perlu dihentikan.

Menurutnya, dua ADUN PN itu sedia memberikan kerjasama demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri Melaka telah ditubuhkan, jadi tak perlu bergaduh dengan sesiapa. Hentikan politiking.

“Kita boleh beri kerjasama demi kepentingan rakyat. Mereka ada tanggungjawab untuk bersuara bagi pihak rakyat dan negeri Melaka, itu fokus kita sekarang,” katanya.

Sebelum ini, dua ADUN Bersatu itu dikatakan tidak bersedia untuk duduk di kerusi pembangkang bersama lima lagi ADUN Pakatan Harapan (PH) selepas BN menang PRN Melaka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengulas perkara itu berkata, tidak ada keperluan untuk membawa bersama dua wakil rakyat PN dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

BACA: Wanita maut kemalangan dalam perjalanan ziarah jenazah ibu

Artikel ini disiarkan pada 28/11/2021

COMMENTS

Wordpress (0)