Dr Yusnan : Sebuah kenangan ukhuwwah yang tak akan terlupakan

Dr Yusnan : Sebuah kenangan ukhuwwah yang tak akan terlupakan

Sepasang Capal Kulit Dari Marakesh

Perkenalan saya dengan Allahyarham Dr Yusnan sebenarnya agak unik kerana kami bukan mula kenal di Malaysia tetapi nun jauh di benua Afrika.

Ya, kami berkenalan di Maghribi (Morocco) sekitar tahun 2012 lewat satu persidangan antarabangsa yang mengumpulkan hampir semua pemimpin gerakan Islam dunia.

Masih segar dalam ingatan, suasana keterujaan para hadirin menantikan ucaptama oleh Khaled Meshal, salah seorang pemimpin utama Hamas.

Saya sebenarnya direzekikan menjadi wartawan pengiring untuk membuat liputan persidangan itu.

Sementara Allahyarham Dr Yusnan ketika itu bertugas sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO) di bawah OIC yang berpengkalan di Rabat.

Delegasi persidangan asalnya ditempatkan di hotel, namun seusai persidangan, Allahyarham mempelawa kami tinggal di rumahnya.

Sikapnya yang sangat bersungguh-sungguh mahu meraikan tetamu, dan berkebetulan pula kami sama-sama asal Kelantan menyebabkan kami cepat serasi.

“Yie, ana tahu enta mesti rindu nak makan nasi. Jom ana bawa pergi makan nasi versi Morocco,” katanya seakan tahu selera tekak saya yang sudah tak boleh nak telan masakan di sana.

Sebenarnya saya sangat teruja dengan pelawaan itu. Sudah terbayang mungkin menunya nasi arab. Sudah beberapa hari sejak bertolak dari Kuala Lumpur, saya tidak jumpa nasi.

Saya kemudian dibawa ke sebuah kedai makan di Rabat.

“Yie, enta kena rasa nasi ni. Orang sini panggil kuskus (couscous). Special ni. Dekat Malaysia tak ada nasi ni,” katanya bersungguh.
Saya cuba penuh teruja.

“Aduh ustaz, tak boleh nak telan ni. Ingatkan rupa je macam telur ikan, rasa pun nak sama macam telur ikan”, keluh saya yang hanya mampu untuk satu suapan.

“Nampaknya tak capai matlamat kita hari ni. Enta order makanan lain. Tak apa, balik nanti ana masak nasi arab kat enta,” katanya yang sebolehnya cuba memenuhi kehendak saya.

Selepas makan, beliau kemudian membawa saya ke pasar Marakesh.

“Datang ke Morocco wajib mari ke pasar ni. Paling popular sini barangan kulit dia. Original dan sangat berkualiti. Enta kena beli,” ujarnya lagi.

Masuk ke pasar Marakesh ni memang boleh sesat. Dah la besar, semua lorong pulak nampak macam sama sahaja.

Saya hanya beli tali pinggang dan beg sandang.

“Nah, ni ana hadiahkan ke enta. Ana pun tak tahu nak bagi apa ke enta nak balik Malaysia,” katanya sambil menghulurkan sepasang capal kulit.

Satu pemberian sangat bermakna tanda persahabatan. (Saya pakai capal ni dari 2012 sehingga 2016, dua kali tukar tapak sehinggalah rosak dan tak boleh nak diselamatkan lagi).

Seingat saya hampir seminggu juga saya tinggal di rumah Allahyarham. Di rumah itu juga beliau memproses sendiri minyak argan dan minyak zaitun. Ya, Morocco adalah sebuah negara yang kaya dengan fosforus dan pengeluar utama minyak argan.

Berbotol-botol minyak argan dan minyak zaitun dia bekalkan kepada saya untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Rabat, Marakesh dan Casablanca, antara tiga bandar yang sempat saya lawat sepanjang berada di sana. Sempat juga ke Morocco Mall (Moroc Mall), sebuah pasar raya terbesar di afrika yang baru beberapa bulan dibuka ketika itu.

Saya juga berkesempatan bertemu pelajar-pelajar Malaysia. Kebetulan seorang junior sekolah saya Mohd Fakurazi Bin Ghazali juga berada di sana. Alhamdulillah dapat bertemu di negara orang.

Allahyarham Dr Yusnan ibarat ayah kepada pelajar-pelajar di sana dan juga sering menjadi tempat bergantung dan meminta tolong. Pengorbanan dan jasa Allahyarham kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana bukan kepalang. Tak boleh nak cerita. Mungkin mereka ini lebih mengenalinya.

“Ana pun lepas ni akan balik Malaysia dah, berkhidmat untuk anak watan sendiri la pulak,” katanya.

Ketika itu beliau ada sebutkan yang beliau ada dihubungi dan ‘dipinang’ untuk menjadi calon pilihan raya yang akan datang.

Tidak lama kemudian beliau pulang ke Malaysia dan bertanding pilihan raya di negeri Kelantan pada 2013.

Alhamdulillah rezeki beliau menang dan dilantik sebagai timbalan exco kerajaan negeri.

Setiap kali nak datang ke Kuala Lumpur beliau akan mesej untuk berjumpa. Seingat saya hanya beberapa kali sahaja sempat kami bertemu. Selebihnya hanya lewat mesej di whatsapp sahaja.

Allahyarham mahu saya bantu dari sudut media untuk kerja-kerja kebajikan yang lakukan.

Semalam, Jumaat yang penuh barakah, Allahyarham pergi meninggalkan kita untuk selamanya.

Allahyarham seorang abang dan juga sahabat. Tidak lokek dan mudah menolong. Lembut, tidak gemar berbalah dan senang memaafkan.

Sebuah kenangan ukhuwah yang tidak akan terlupakan.

Sumber: