Pemimpin DAP Johor mendesak Kementerian Kesihatan mengeluarkan lebih banyak data klinikal berhubung keberkesanan dos penggalak homologous (sama dengan vaksin asal) dan heterologous (berlainan daripada vaksin asal), bagi meningkatkan keyakinan penerima untuk mendapatkannya.
Dr Boo Cheng Hau yang juga terlibat memberi suntikan seumpama itu berkata, minggu lalu sahaja, beliau mendapati hampir satu perlima penerima dos penggalak enggan disuntik vaksin Pfizer, susulan sebelum ini telah diberikan Sinovac.
“Walaupun Kementerian Kesihatan sudah meluluskan campuran vaksin Sinovac dengan Pfizer sebagai dos penggalak, sejumlah besar penerima masih meraguinya,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor.

Sekiranya jumlah penerima seumpama itu kekal, katanya, ia mampu memberi impak negatif kepada usaha kerajaan menangani virus Covid-19.
Dalam kenyataan, Boo berkata, kerajaan tempatan perlu memainkan peranan memberi maklumat tepat berkenaan keselamatan campuran dos penggalak itu kepada penerima bagi mengurangkan sikap skeptikal mereka.
“Rakyat perlu diberi maklumat terperinci sebaik mungkin untuk mereka mempertimbang manfaat dan risiko sendiri,” katanya.
“Kita tidak boleh mengandaikan apa yang mereka mungkin faham atau tidak, sebaliknya mesti membolehkan mereka melihat semua maklumat berkaitan sebelum membuat keputusan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, pihak kementerian juga perlu menghormati hak penerima yang berhasrat mengambil vaksin homologous sebagai dos penggalak.
Justeru, katanya, pihak kementerian perlu mendedahkan data klinikal yang ada berhubung pemberian vaksin seperti itu.
“Kajian menunjukkan selepas melepasi tempoh tertentu, tahap antibodi menurun kepada pesakit seperti tidak menerima apa jua vaksin. Jadi, kita perlu merapatkan jurang imuniti ini dengan menggalakkan rakyat mendapatkan dos penggalak.
“Contohnya, segelintir orang terutama warga emas mungkin lebih selesa mendapatkan vaksin Sinovac. Mungkin, selepas menerima suntikan itu, mereka tidak mengalami kesan sampingan dan menganggapnya yang terbaik bagi mereka,” katanya.