Dos kedua 12 minggu selepas dos pertama bagi vaksin AstraZeneca – Khairy

Dos kedua 12 minggu selepas dos pertama bagi vaksin AstraZeneca – Khairy

Tempoh masa antara suntikan dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 buatan AstraZeneca ditetapkan pada 12 minggu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Menerusi ciapannya di Twitter, Khairy memaklumkan, jarak tempoh masa selama 12 minggu itu selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta amalan di United Kingdom (UK).
“Tempoh masa antara pemberian vaksin AstraZeneca dalam program sukarela ditetapkan pada 12 minggu. Ini selaras dengan saranan WHO dan sedang diamalkan di UK,” katanya,

Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan menilai permohonan untuk jangka masa dipendekkan antara pemberian dos vaksin pertama dan kedua.

“JKJAV akan menilai permohonan untuk jangka masa lebih pendek berdasarkan setiap kes, contohnya bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara,” jelas beliau lagi.

Proses permohonan untuk memendekkan jangka masa antara pemberian dos pertama dan kedua akan disediakan menerusi laman web JKJAV dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan AstraZeneca pada 3 Februari lalu, ujian klinikal fasa ketiga di UK, Brazil dan Afrika Selatan menunjukkan 76 peratus kadar keberkesanan selepas dos pertama, manakala dos kedua selepas 12 minggu atau lebih mempunyai 82 peratus kadar keberkesanan.

Manakala ujian saringan mingguan yang dijalankan dalam kalangan sukarelawan menerusi ujian klinikal di UK menunjukkan kadar pengesanan kes positif COVID-19 menurun sebanyak 67 peratus selepas dos pertama, dan 50 peratus selepas dos kedua.

Pada Ahad, sebanyak 268,000 pemohon vaksin AstraZeneca secara sukarela selesai didaftarkan dalam tempoh masa kurang empat jam selepas dilancarkan.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tempoh-12-minggu-antara-dos-pertama-dan-kedua-vaksin-astrazeneca-khairy-296368