Sekumpulan rambut seberat 4 kilogram berjaya dikeluarkan dari perut seorang remaja perempuan di bandar Ulan-Ude, Republik Selatan Buryatia, Rusia.
Remaja berusia 16 tahun itu sering mengalami sakit perut, muntah selepas makan, dan penurunan berat badan secara mendadak, sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.
Selepas pemeriksaan menyeluruh, doktor mendapati segumpal rambut berada di dalam usus remaja tersebut.
Ketua pasukan pakar bedah, Bator Dondokov, menyatakan bahawa kejadian seperti ini jarang berlaku.
“Punca masalah ini adalah kerana remaja tersebut dikatakan gemar mengunyah rambutnya sendiri sehingga menjadi kebiasaan.
Risiko utama ialah apabila rambut berkumpul dalam usus, ia menyebabkan kesakitan kepada pesakit,” jelasnya.
Menurut ibu remaja itu, anaknya pernah menerima rawatan di hospital dan keadaannya bertambah baik, tetapi penyakitnya kembali berulang.
Remaja tersebut dipercayai menghidap penyakit gangguan mental dikenali sebagai Trichophagia, di mana pesakit akan makan rambut mereka sendiri atau rambut orang lain.
Remaja ini telah mengunyah rambutnya sendiri selama 10 tahun lalu dan berterusan sehingga kini.
Dr Andrey Karavaev menjelaskan bahawa 80 peratus daripada perut gadis tersebut dipenuhi dengan bola rambut gergasi, dan saluran gastroususnya berada dalam bahaya kerana telah tersumbat.
BACA: Bermula dari kedai gunting rambut, ini kisah liku kejayaan Pak Mat Western sebelum terkenal