Disangkal Kesatuan Eropah, Khairy perlu lebih jujur

Disangkal Kesatuan Eropah, Khairy perlu lebih jujur

Disangkal Kesatuan Eropah, Khairy perlu lebih jujur – Faiz Fadzil

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) YB Khairy Jamaluddin perlu dengan jujur menjelaskan kepada rakyat tentang kelewatan sebenar pembelian vaksin susulan kenyataan balas Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia Michalis Rokas bahawa EU tidak membolot pembelian vaksin yang kononnya melibatkan penguasaan kartel yang membeli secara pukal daripada kilang pembuatan vaksin.

Penjelasan Khairy berkenaan isu ini penting kerana isu ini adalah isu utama yang menjadi perhatian rakyat hari ini yang menuntut pemberian vaksin dipercepatkan bagi menghalang penularan wabak Covid-19 ini. Apatah lagi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sebanyak RM5 bilion bagi program imunisasi ini.

Khairy dan PN perlu bersikap lebih berakauntabiliti terhadap penggunaan wang rakyat ini kerana ia adalah satu jumlah wang yang banyak dibelanjakan, tetapi gagal untuk bersaing dengan negara lain dalam pembelian vaksin. Sudahlah rakyat tidak terbela, kerajaan boleh pula berbelanja besar dalam keadaan ekonomi negara yang semakin lumpuh hari ini dengan lebih 300,000 orang rakyat telah hilang pekerjaan.

Disangkal Kesatuan Eropah

Sikap kerajaan PN yang menggunakan kuasa darurat untuk berbelanja besar tanpa pembentangan, perbahasan dan kelulusan Parlimen akibat penggantungan Parlimen menjurus kepada salah guna kuasa. Terbaru, PN dikatakan akan berbelanja RM300 juta untuk pembelian 500 buah ambulans yang menjadikan sebuah ambulans berharga RM600 ribu yang merupakan satu lagi pembaziran kerana peruntukan yang besar ini seharusnya boleh digunakan untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan pemulihan ekonomi rakyat.

Atas sebab inilah Parlimen perlu berfungsi segera supaya segala perbelanjaan kerajaan PN ini dapat disemak imbang dan program imunisasi dapat dibincangkan secara tuntas demi kemaslahatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Faiz Fadzil

Sumber: