Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa memberitahu dirinya sudah biasa dilabel dengan persepsi negatif. Beliau yang memegang jawatan menjaga portfolio hal ehwal agama Islam berpendapat pengalamannya terlibat dalam politik sejak 20 tahun lalu menyebabkan wujudnya reaksi sedemikian.
“Saya sudah biasa dengan persepsi negatif ini sebagai ahli parlimen yang sudah memasuki penggal ketiga iaitu 12 tahun.”
“Kedua, saya juga terlibat dalam politik kepartian sejak tahun 1999 secara serius. Maka sebagai orang politik saya tidak melihat tanggapan itu sebagai menimbulkan masalah.”
“Sebabnya, seorang ahli politik itu sentiasa terdedah kepada pelbagai persepsi,” ujarnya dalam siaran langsung di Bernama News Channel (BNC) malam tadi.
Ahli Parlimen Parit Buntar tersebut berkata demikian ketika ditanya tentang panggilan liberal terhadap dirinya dalam slot Ruang Bicara yang dihoskan oleh Sharkawi Jirim. “Apalagi sudah menjadi menteri yang memegang portfolio agama. Sudah tentu persepsi itu tinggi. Antara yang suka dengan tidak suka,” ujar Dr Mujahid.
Sehubungan itu, beliau merayu rakyat melakukan penilaian secara adil dengan menjelaskan apa yang dianggap tidak betul.
“Di mana yang mereka rasa tidak betulnya. Orang mahu kata dan label, itu biasalah. Mereka boleh berinteraksi dengan saya. Mana yang ragu, beritahu,” katanya.
Beliau turut berpendapat wujud dua kelompok individu yang mempunyai persepsi negatif.
“Pertama, yang benda baik pun mahu dilihat sebagai negatif. Ini saya sukar untuk menguruskan mereka.
“Tapi (yang kedua), kalau negatif tetapi mungkin dia tidak tahu tetapi mungkin dengar dari orang lain dan dia bersedia untuk mendapatkan penjelasan.
“Orang sebegini bersifat objektif bukan emosional. Saya sudah biasa dengan tanggapan-tanggapan sedemikian,” tambah Dr Mujahid lagi.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/20-tahun-jadi-orang-politik-mujahid-sudah-biasa-dilabel-liberal/