Didakwa jadi punca isu Doktor Kontrak, akhirnya Tun M buka mulut

Didakwa jadi punca isu Doktor Kontrak, akhirnya Tun M buka mulut

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata status doktor kontrak merupakan proses biasa dalam perkhidmatan kerajaan tetapi mereka sewajarnya diberikan penjawatan tetap selepas berkhidmat dalam tempoh tertentu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata isu itu tidak menjadi masalah yang besar ketika pentadbirannya, mahupun bekas perdana menteri Najib Razak.

Terdahulu ketika sidang media dalam talian, dia menjawab soalan pemberita, mengapa ketika dia menjadi perdana menteri tiada sebarang penyelesaian yang dilakukan terhadap isu itu, sedangkan ia telah berlanjutan sejak 2016.

 

“Mengapa ia (isu doktor kontrak) tidak dibawa ketika itu (pentadbiran saya), kerana ia bukan satu masalah, doktor kontrak mereka tidak mengadu (seperti hari ini).

“Kerana mereka nampak selepas menjadi doktor kontrak, mereka boleh mendapat penjawatan tetap. Sebab itu ia bukan satu masalah ketika (pentadbiran) saya dan ketika (pentadbiran) Najib juga.

“Tapi sekarang ia merupakan satu masalah kerana mereka telah berada di situ (jawatan doktor kontrak) terlalu lama.

doktor

“Sebab itu mereka rasa sengsara tidak dilayani secara adil oleh kerajaan,” katanya pada sidang media dalam talian hari ini.

Pagi tadi, kumpulan doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan mengadakan mogok kerja di seluruh negara bagi menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Difahamkan, kumpulan doktor terbabit bertekad meneruskan mogok itu hari ini meskipun menerima tekanan daripada pihak atasan yang mengancam akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang menyertai ‘Hartal Doktor Kontrak’ (HDK).

K’jaan tak patut beri ‘gula-gula’

Ditanya mengenai mogok itu, Mahathir yang juga ahli parlimen Langkawi menegaskan apa yang berlaku terhadap doktor kontrak tidak adil kerana mereka telah berkhidmat di bawah perkhidmatan kontrak untuk tempoh yang lama.

Katanya, mereka telah melakukan pelbagai tugasan tetapi tidak diberikan manfaat yang sewajarnya dinikmati seorang pegawai perubatan.

“Saya fikir kerajaan tidak patut cuba dan memberikan mereka perkara seperti ‘gula-gula’ (janji manis) untuk hentikan mereka daripada melakukan mogok.

“Saya rasa mogok daripada doktor bukanlah suatu yang dialu-alukan oleh sesiapapun terutama dalam keadaan sekarang (kerana) kita perlukan perkhidmatan doktor disebabkan pandemik ini,” katanya.

Pada 23 Julai, Muhyiddin pada satu kenyataan berkata kerajaan bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak menerima manfaat kerjaya yang setara dengan pegawai tetap.

Menurut Muhyiddin, kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terlibat dengan menawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak, yang melobi untuk jawatan tetap bagi doktor kontrak, menyifatkan penyelesaian yang dicadangkan kerajaan sebagai “separuh masak”.

Walaupun begitu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata lanjutan kontrak itu bertujuan memberi kerajaan waktu untuk memungkinan dibuat perjawatan tetap.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/584632

BACA JUGA : Tindakan tergesa-gesa batal ordinan darurat sahkan keraguan Umno selama ini