Dewan Ulamak Pas bidas Hamid Bador, anggap kritikan pada Hamzah melampau

Dewan Ulamak Pas bidas Hamid Bador, anggap kritikan pada Hamzah melampau

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan ucapan sekalung tahniah buat warga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), atas pelantikan Datuk Seri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani selaku Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu berkuat kuasa 4 Mei 2021.

Pelantikan tersebut merupakan lantikan KPN yang ke-13 dan ia telah diumumkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi menggantikan Ketua Polis Negara (KPN) sekarang, Tan Sri Hamid Bador dalam satu majlis khas.

DUPP juga mengkritik ucapan Tuan Hamid Bador, KPN sekarang ini ekoran kenyataan terbuka beliau dalam satu sidang berkenaan maklumat yang beliau perolehi dengan mendakwa terdapat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang membabitkan rasuah kalangan ahli politik tertentu secara terbuka di hadapan para wartawan.

Adakah beliau telah lupa terhadap Akta Polis Sek 4 (1) di mana dia sebagai KPN adalah bertanggung jawab kpd Menteri Dalam Negeri. Sehubungan itu, sikap beliau hanya membawa cerminan buruk dengan semata-mata dakwaan. Jika benar sebagaimana dakwaan yang dilontarkan tersebut, maka mengapa tidak diambil tindakan susulan semasa beliau masih menjawat KPN dengan membuat laporan agar penyiasatan dilakukan dan dibawa ke muka pengadilan untuk diadili bagi dihukum menerusi lunas perundangan yang ada dalam negara ini.

Tidak wajar individu seperti beliau iaitu orang yang tahu prosedur undang-undang dan menjaga keadilan negara, tidak menggunakan saluran yang ada namun hanya beremosi dalam ucapan sehingga mengundang sangkaan berunsurkan fitnah dan dakyah terhadap politik semasa dengan timbulnya persepsi jahat kepada kerajaan PN sekarang ini kerana sikap yang beliau tunjukkan adalah mengenepikan nilai undang-undang.

Sebagai sebuah negara yang ada undang-undang dan sistem, kita ada saluran dan peruntukan bagi setiap sesuatu dakwaan. Ini bukan negara “cowboy” dan jangan pula bersikap dengan mainan persepsi iaitu menjatuhkan hukuman sebelum diadili dan diputuskan hukuman oleh pihak mahkamah.

Jangan pula disebabkan lantikan beliau sebelum ini oleh kerajaan PH, beliau hilang pertimbangan dalam bersikap adil dengan terikut rentak politik PH sehingga menggunakan kedudukan beliau sekarang ini untuk meracuni pemikiran rakyat dengan mainan persepsi semata-mata sebagaimana yang diamalkan oleh politik PH.

DUPP sangat bertegas dalam soal yang membabitkan integriti kerana tanpa integriti ia akan mengakibatkan negara menuju kemusnahan. Namun dalam soal pendakwaan, hendaklah setiap pendakwaan mengikuti saluran menurut lunas perundangan agar siasatan dapat dijalankan dan seterusnya diadili di mahkamah untuk dijatuhi keputusan dan hukuman. Bukannya dengan bermain persepsi dan menjadikan negara ini seperti negara “cowboy”.

Firman Allah SWT :

(۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِیتَاۤىِٕ ذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَیَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡیِۚ یَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ)

Maksudnya :
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya. – [Surah An-Nahl 90]

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat

Berita Penuh :https://berita.pas.org.my/tuan-hamid-kerja-mesti-berintegriti/