Dengarlah rintihan golongan PKS wahai Menteri PN

Dengarlah rintihan golongan PKS wahai Menteri PN

Kerajaan diminta untuk mengumpul dan meneliti segala rungutan pemain industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mencari solusi bagi menambah baik pakej rangsangan ekonomi prihatin yang diumumkan minggu lalu.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata, golongan PKS tidak harus dilupakan oleh kerana mereka mempunyai pekerja yang perlu dijaga kebajikannya.

Beliau berkata, biarpun RM100 bilion diperuntukan kepada sektor perniagaan termasuk PKS, masih ada rungutan daripada kalangan pemain industri bahawa insentif diumumkan adalah tidak jelas dan tidak mencukupi.

“RM128 bilion yang disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat sesungguhnya akan membantu golongan B40, M40 dan penjawat awam.

“Namun, ramai di kalangan mereka yang mengeluh terpaksa membayar gaji pekerja dan mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Mereka juga terpaksa membayar sewa premis perniagaan dengan keadaan tiada pendapatan yang masuk sewaktu perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pulai itu turut memberi contoh bahawa saiz minimum pinjaman yang layak dijamin tidak seharusnya pada kadar RM20 juta bagi setiap perniagaan.

Malah menurutnya, setiap perniagaan seharusnya diberikan lebih banyak kemudahan untuk mendapatkan pinjaman.

Katanya, Ini sekaligus akan memastikan majikan tidak perlu membuang pekerja bagi mengurangkan kos.

“Justeru, rungutan dan rintihan pemain industri PKS harus diberikan perhatian kerana banyak perusahaan yang mungkin terpaksa ‘tutup kedai’ jika mereka tidak menerima bantuan yang sewajarnya,” jelasnya.

Berita Penuh:https://malaysiadateline.com/insentif-peniaga-pks-tidak-jelas-pm-digesa-dengar-rungutan-mereka/