Denda cemar alam sekitar dinaikkan kepada 1 juta – MB Selangor

Selangor berhasrat untuk menambah baik Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 dengan meningkatkan denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata, enakmen ini akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bersidang bermula Oktober hingga November depan untuk tujuan pindaan dan tambah baik.

“Kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor dengan lembaga pengarah, kita hendak tambah baik enakmen ini. Di bawah enakmen sebelum ini denda bagi kesalahan pencemaran alam sekitar adalah RM500,000 dan kita rancang tingkat ke RM1 juta.

“Enakmen ini perlu dibawa ke DUN, yang akan bersidang Oktober hingga November, untuk kita ubah dan tambah kriteria terbabit,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pengurusan Air Selangor, hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan Selangor sendiri sudah membuat kajian segala aspek berhubung pindaan enakmen berkenaan dan turut berharap Kementerian Alam Sekitar segera mengubah akta berkaitan dengan mengenakan denda lebih tinggi.

Tindakan berkenaan diambil susulan kekerapan masalah gangguan bekalan air di negeri berkenaan, katanya.

Terkini, kecuaian sebuah kilang yang beroperasi berhampiran dengan Sungai Gong, Rawang dikesan menjadi punca kepada pencemaran air di Lembah Klang dan Selangor.

Polis juga menahan 4 lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran air yang berlaku.

Artikel berkaitan : MB arah kilang punca pencemaran sungai diroboh serta merta

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata, semua suspek yang berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

Siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan 4 suspek yang juga adik-beradik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan khianat sehingga memutuskan bekalan air untuk pertanian, makanan atau minuman.

Sebanyak 1,292 kawasan di Lembah Klang, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/09/05/amirudin-selangor-akan-naik-denda-kesalahan-cemar-alam-sekitar-hingga-rm1-juta/

COMMENTS

Wordpress (0)