Demi kelangsungan hidup, lelaki OKU ini terpaksa buat lima kerja.Kecacatan dialami sejak lahir bukan alasan untuk Mohd Bukhori Ali, berpeluk tubuh dan menagih simpati mencari rezeki.
Malah, Mohd Bukhori, 33, atau mesra disapa Ayie, yang cacat kedua-dua tangan dan kaki, bukan melakukan satu tetapi lima pekerjaan bagi menyara keluarganya.
Lelaki orang kelainan upaya (OKU) ini berbakat sebagai deejay, mahir membaiki komputer dan memasang kamera litar tertutup (CCTV), malah menjadi penceramah motivasi dan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Lepasan Diploma Teknologi Maklumat itu turut yakin mampu menyambung semula perniagaan sewa sistem bunyi dan khidmat deejay, yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah, pendapatan diperoleh sebelum ini cukup buat menampung hidup kami sekeluarga selain dapat membayar pinjaman bank untuk rumah dan kereta.
“Apabila pandemik melanda, saya hilang punca pendapatan utama, namun daripada menyerah kalah lebih baik saya gunakan kemahiran lain yang ada bagi mencari rezeki,” katanya yang ditemui di rumahnya Kampung Sireh, dekat sini.
Isterinya, Noorfarahin Roslan, 33, tidak bekerja dan pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan, Aulyia Aryissa Medina berusia lapan tahun dan Aisya Faiha, tiga tahun.
Sepanjang pandemik, Ayie menawarkan khidmat memasang CCTV, membaiki komputer, menjadi deejay dalam talian dan sukarelawan PPV di klinik kesihatan, selain penceramah motivasi jika ada undangan.
Katanya, walaupun pendapatan diperoleh tidak seperti sebelum ini, ia masih dapat menampung hidup mereka sekeluarga.
Ayie berkata, beliau tidak mahu bergantung hidup kepada orang lain kerana sejak kecil sudah diajar berdikari walaupun fizikal tidak sempurna seperti insan lain.
“Saya juga memegang kata-kata arwah ibu dan bapa yang berpesan supaya tidak menyusahkan orang lain kerana mereka juga mempunyai komitmen dan keluarga sendiri.
“Arwah ibu dan bapa kata, mungkin sehari dua orang boleh bantu, namun untuk selamanya kita tidak boleh mengharap kepada orang lain. Kata-kata itu yang menjadi semangat untuk saya supaya berdikari sejak kecil,” katanya
Berita penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/866061/oku-buat-lima-kerja-demi-rezeki-halal