MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research (MIDF Research) mengunjurkan deflasi pengeluar Malaysia pada -1.8 peratus bagi 2019 selepas Indeks Harga Pengeluar (IHPR) negara ini susut 1.8 peratus tahun ke tahun pada Jun lepas.Dalam satu nota penyelidikan hari ini, MIDF Research turut mengunjurkan deflasi harga pengeluar akan meningkat kepada -1.5 peratus daripada -1.1 peratus pada 2018.”Sehingga Jun 2019, purata inflasi pengeluar adalah -1.9 peratus, sebahagian besar daripadanya disebabkan oleh paras harga bahan api RON95 yang lebih rendah daripada purata harga tahun lepas.”Bagi kemajuan masa depan, kami melihat angka itu akan terus meningkat sedikit berikutan jangkaan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan serta kenaikan kos komponen makanan,” katanya.Ketua Perangkawan Negara, Datuk Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata penguncupan sebanyak 1.8 peratus yang dilihat pada IHPR Jun itu didahului oleh pertanian, perhutanan dan perikanan (-9.2 peratus), perlombongan (-6.4 peratus), bekalan air (- 1.8 peratus) dan pembuatan (-0.8 peratus).Mengulas perkembangan itu, MIDF Research berkata kos pengeluar Malaysia kekal deflasi ketika IHPR susut sebanyak -1.8 peratus tahun ke tahun pada Jun 2019.Menurutnya, ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan pengurangan harga input sektor perlombongan dan pembuatan yang mana harga input kilang telah menguncup bagi 18 bulan berturut-turut manakala sektor pembuatan masih menjadi bahagian terbesar sebanyak 81.6 peratus dalam menentukan inflasi pengeluar.Selain itu, MIDF Research berkata angka terbaharu IPHR itu menunjukkan inflasi teras Malaysia akan kekal rendah bagi tempoh separuh kedua 2019 (2H19).Bagaimanapun, firma itu berkata inflasi pengguna bagi 2H29 itu sebahagiannya dipengaruhi oleh kesan asas yang rendah akibat tempoh tanpa cukai pada tahun lepas.Merujuk harga input produk makanan, firma penyelidikan itu berkata komponen itu telah jatuh sejak Disember 2017 dan kadar penurunan itu adalah yang paling perlahan sejak Disember 2018 dengan angka terbaharu pada -7.9 peratus tahun ke tahun dalam bulan Jun 2019.”Memandangkan barangan makanan merupakan hampir majoriti dalam indeks harga pengguna, kami menjangkakan sebahagian besar peningkatan itu dapat mengimbangi kelemahan inflasi akibat penurunan ketara dalam komponen pengangkutan,” katanya.
BERNAMA