Datuk Red dan Adira umum ‘getback’ semula, tahun depan nikah

Oleh CHE HUSNA KAMARUZZAMAN

Ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu, 46, memohon agar orang ramai mendoakan perancangannya untuk memperisterikan semula bekas isterinya, Adira, pada Aidilfitri tahun depan.

Adnan, yang lebih dikenali sebagai Datuk Red, menyatakan hasratnya untuk mengadakan majlis yang meriah, memandangkan mereka tidak pernah mengadakan majlis perkahwinan sebelum ini.

Menurut Adnan, dia tidak mahu terburu-buru dalam perancangan perkahwinan semula kerana ingin memberi fokus terlebih dahulu kepada penyelesaian hutang.

“Kami sudah berbincang dan memaklumkan kepada abang Adira untuk menjadi wali pernikahan kami nanti.

“Sebenarnya, saya hanya bertanya adakah Adira mahu kembali semula kepada saya?

Datuk Red dan Adira umum 'getback' semula, tahun depan nikah

Saya terkejut apabila Adira bersetuju dan meminta agar majlis pernikahan dilangsungkan pada hujung tahun ini.

“Namun, atas sebab tertentu, saya minta untuk menangguhkan sehingga Aidilfitri tahun depan. Jadi, doakanlah semoga segala perancangan kami dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi seperti yang dilapor BH Online.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia memilih Adira semula kerana ingin menumpang populariti bekas isterinya yang merupakan seorang selebriti, Adnan menafikan dakwaan tersebut.

Katanya, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih Adira dan perkara tersebut tidak perlu dijelaskan kepada umum.

Adnan menambah, dia tidak berhasrat untuk mempunyai dua isteri seperti sebelumnya kerana tanggungjawab tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

“Bukan kerana Adira seorang selebriti, saya memilihnya. Tempoh untuk memiliki isteri lain sudah berakhir, jadi ini adalah masa untuk saya membuat pilihan. Ada sebab mengapa saya memilih Adira. Saya sudah malas mencari pengganti baharu dan memulakan semuanya dari awal.

“Orang luar tidak tahu apa yang berlaku dalam kehidupan saya,” katanya.

Adnan juga menyatakan bahawa dia tidak akan mensia-siakan peluang kedua memandangkan usianya sudah tidak muda lagi.

“Saya perlu mengubah cara hidup dan akan fokus kepada keluarga serta kerja sahaja. Saya akan berusaha untuk menyelesaikan hutang yang ada.

“Lagipun, hidup sendirian bukan mudah. Bila ada isteri yang menguruskan kehidupan, maka segalanya akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Namun, ikatan perkahwinan sembilan tahun itu berakhir dengan penceraian pada 24 April lalu. Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan empat orang anak: Anggrek, 6; Asan, 5; Anggun, 4; dan Ayob, 1.

BACA: Dari kereta api ke kokpit pesawat komersial, ini kisah pemandu kereta api kepada ‘pilot’ AirAsia