Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pangkalan data (registry) mengenai pesalah jenayah kanak-kanak di negara ini akan dikemaskini secara komprehensif.
Beliau berkata ini berikutan data yang ada kini hanya bermula pada 2017 selain mempunyai sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki.
Dalam kes pesalah pedofilia Nur Fitri Azmeer Nordin, 27, yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Azizah berkata individu itu didapati bersalah pada tahun 2015 dan ketika itu dia berada di luar negara.
Kerajaan juga perlu bersikap adil kepada semua pihak berikutan Nur Fitri sudahpun menjalani hukumannya.
“Kisah ini punya dua aspek. Dia sudahpun menjalani hukumannya atau sebahagiannya … Apakah kita mahu menghukumnya seumur hidup? … Pada masa yang sama kita juga hendak pastikan anak-anak kita terjaga, jadi kita perlu seimbang,” katanya apabila ditanya tentang isu Nur Fitri.
Wan Azizah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni Rakyat peringkat Negeri Kedah di Pusat Membeli-Belah Aman Central, di sini, hari ini.
Pada Mei 2015, Nur Fitri yang melanjutkan pelajaran di Imperial College, United Kingdom dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan memiliki bahan pornografi kanak-kanak dengan niat untuk mengedarkannya.
Nur Fitri sudah menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sebelum kerajaan Malaysia membawanya pulang.
Nur Fitri kini diterima mengikuti program pasca siswazah doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas mula mendaftar sebagai pelajar di institusi itu sejak 2016 bagi program pengajian peringkat ijazah sarjana muda.
BERNAMA