Dasar Kebersihan Negara diyakini bantu PBT tingkat tahap kebersihan, tambah baik sistem

51797860_1253988891437090_5295375778941239296_n.jpg
Dasar Kebersihan Negara yang akan dilancarkan Ahad ini, diyakini dapat membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjaga kebersihan kawasan pentadbiran sekaligus menambah baik sistem pengurusan sampah.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Datuk Zazali Salehudin berkata melalui dasar itu juga, beliau optimis bahawa penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebersihan akan dilaksanakan secara lebih tegas.

“Kita sambut baik pengenalan Dasar Kebersihan Negara ini kerana apabila adanya dasar seperti ini bermakna akan ada peraturan yang diperkenalkan dan saya yakin penguatkuasaannya juga akan dijalankan dengan lebih tegas dalam memastikan kawasan persekitaran sentiasa berkeadaan bersih dan terjaga.

“Justeru saya harap, dasar ini dapat membantu PBT melaksanakan atau menguruskan sisa sampah mengikut amalan yang lebih baik dan efektif sekaligus membantu untuk meningkatkan tahap kebersihan kawasan pentadbiran kita,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zazali, yang juga YDP Majlis Perbandaran Seremban berkata, amalan kebersihan perlu dititik beratkan bagi memastikan keselesaan bukan sahaja kepada diri sendiri, keluarga malah kepada orang sekeliling kita.

“Kebersihan yang terjamin dapat menghindarkan kita daripada wabak penyakit yang berbahaya serta mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar,” katanya.

Justeru, Zazali berkata dalam usaha menjaga kebersihan alam sekitar dengan melupuskan sisa secara berhemah dan teratur, pihaknya turut melaksanakan pelbagai program antaranya program Zon Sifar Sampah dan kempen ‘Larangan Penggunaan Polesterin by 2020’.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin baru-baru ini berkata pelaksanaan Dasar Kebersihan Negara yang akan dilancarkan 3 Nov ini merangkumi hala tuju pengurusan sampah yang lebih luas dan tersusun.

Beliau berkata, dasar itu sejajar dengan hasrat kerajaan mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa untuk didiami dan KPKT merangka dasar ini ke arah mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara bersih, mapan dan sejahtera melalui pembudayaan kebersihan.

Dasar Kebersihan Negara dijangka dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal SWM Environment Sdn Bhd turut memainkan peranan dalam memupuk tahap kesedaran awam berkaitan penjagaan kebersihan, kitar semula, melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca menerusi taklimat, pameran, pengedaran risalah atau poster kepada komuniti, institusi pendidikan, agensi kerajaan, media dan perumahan berstrata.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata pihak syarikat turut menganjurkan program KITAR3CYCLE yang juga sebuah program pemberian ganjaran melalui pengumpulan mata ganjaran kepada ahli berdaftar KITAR3CYCLE yang melaksanakan amalan kitar semula.

“Program itu bertujuan memberi galakan dan dorongan kepada orang ramai memulakan amalan kitar semula dan menjadikannya sebahagian daripada gaya hidup kini di samping menjaga kebersihan serta mensejahterakan alam sekitar untuk jangka masa yang panjang.

“SWM Environment terlibat dalam program anjuran pihak SWCorp dan pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan lain bagi memberi kesedaran awam secara menyeluruh tidak kira peringkat umur dan status,” katanya.

Selain itu, Mohd Norlisam berkata pemasangan papan tanda perkhidmatan turut dilaksanakan bagi memastikan orang ramai dapat menerima maklumat operasi kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan masing-masing.

“Bagi memperkasakan lagi perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai, pihak syarikat sebelum ini telah memasang pelekat jadual kutipan sisa pepejal dan sisa taman, pukal dan kitar semula di tong sampah beroda penduduk agar penduduk maklum akan jadual kutipan sisa pepejal di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihak syarikat juga melakukan demonstrasi yang dilaksanakan unit 3R (Reduce, Reuse & Recycle) bagi mendidik orang ramai untuk menghasilkan barangan daripada penggunaan bahan terpakai selain kesedaran awam turut dilaksanakan secara aktif dalam laman web serta media sosial seperti YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter.

BERNAMA