Darurat tamat atau sambung belum dimukatamadkan lagi

Darurat tamat atau sambung belum dimukatamadkan lagi

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih belum memuktamadkan keputusan berhubung tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dinyatakan tiga ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang mewakili pembangkang iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Seremban merangkap Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Kuala Selangor selaku Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka dalam kenyataan bersama berkata, selaku ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, pelbagai pandangan sudah disampaikan termasuk pandemik COVID-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara dan kesan kepada kehidupan rakyat.

“Setakat hari ini, jawatankuasa ini masih belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

‘Semuanya di bahu Agong’

Turut dinyatakan mengenai pendirian bahawa pendekatan ‘Government Intervention’ atau campur tangan kerajaan dalam bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani pandemik COVID-19.

“Pendirian kami ialah tiada keperluan untuk darurat dilaksanakan, sebaliknya pelaksanaan PKP yang lebih ketat adalah kaedah terbaik.

“Kami juga berpendirian bahawa persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisma semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara kita,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/828434/lanjutan-atau-penamatan-darurat-belum-dimuktamadkan