Darurat adalah satu kejayaan kepada kerajaan PN hadapi Covid-19 – Takiyuddin

Darurat adalah satu kejayaan kepada kerajaan PN hadapi Covid-19 – Takiyuddin

Pelaksanaan proklamasi darurat sejak 11 Januari lalu disifatkan mendatangkan kejayaan besar dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yakin tiada pihak boleh menafikan bahawa proklamasi darurat sejak 11 Januari lalu, berjaya mengekang peningkatan kes COVID-19 daripada mencecah puluhan ribu sehari.

“Banyak perkara diselesaikan (dalam tempoh darurat dilaksanakan). Walaupun jumlah kes masih banyak, kalau tiada darurat ia mungkin lebih banyak. Jangan dinafikan.

“Bagi saya, darurat ini telah memberi kejayaan yang besar kepada negara kita dalam menghadapi pandemik COVID-19.

“Analisa oleh pihak luar negara mengatakan jika Malaysia tak ambil langkah tegas termasuk dari segi perundangan, kes harian boleh mencapai 20,000 hingga 30,000 sehari.

“Pakar kata kalau tiada undang-undang yang memberi kemudahan dan membolehkan tindakan cepat dan tepat oleh pihak yang melaksanakan pencegahan, kita mungkin alami keadaan yang lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Harakah bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya’ yang disiarkan secara maya, semalam.

Berhubung dakwaan pelaksanaan darurat ketika ini menghilangkan kuasa Ahli Parlimen untuk membawa suara rakyat, Takiyuddin memyifatkannya sebagai kurang tepat kerana isu rakyat masih hangat diutarakan menerusi pelbagai platform, khususnya media sosial dan ia diberi perhatian oleh kerajaan.

Katanya, pelaksanaan darurat bukan bermakna Ahli Parlimen sudah tidak berfungsi, sebaliknya wakil rakyat kini memiliki lebih banyak kerja untuk menyantuni rakyat yang memerlukan pelbagai bantuan akibat terkesan dengan penularan COVID-19.

“Semasa darurat, status Ahli Parlimen tetap kekal sebagai wakil rakyat yang dipilih pada PRU-14, ada peranan dan tanggungjawab dalam menyuarakan hasrat dan masalah rakyat.

“Apabila darurat dan Parlimen tidak bersidang, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang masih mempunyai kerja yang penting dan saya akui semua komited untuk membantu rakyat.

“Nak bawa suara rakyat, di luar Parlimen pun berkesan. Dalam media massa, sampai isu yang dibangkitkan lebih hebat daripada dalam Parlimen.

“Jadi macam mana nak kata tidak boleh menyuarakan hasrat rakyat dengan kebebasan media yang ada, sampai teruk juga kerajaan nak beri penjelasan dan mempertahankan diri,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/828743/darurat-bawa-kejayaan-tangani-covid-19-takiyuddin