Dari segi perundangan kerajaan PN masih sah – Takiyuddin

Dari segi perundangan kerajaan PN masih sah – Takiyuddin

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih sah mengikut perundangan, malah kepimpinan yang menerajui negara berjalan seperti biasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kerajaan sudah meminta pandangan penasihat undang-undang kepada kerajaan, iaitu Peguam Negara, Idris Harun bagi mendapatkan pencerahan dari sudut perundangan mengenai kedudukan kerajaan pada 8 Julai lepas.

“Peguam Negara menyatakan kerajaan yang ada ketika ini adalah kerajaan yang sah dari segi Perlembagaan dan undang-undang. Kerajaan juga berjalan seperti biasa,” katanya dipetik Bernama selepas menyampaikan Bantuan Bakul Makanan kepada penduduk kampung di Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan.

“Kenyataan peguam negara itu jelas mencerahkan yang menentukan sebuah kerajaan itu adalah Ahli Parlimen dan setakat ini, kerajaan maklum tiada seorang pun lagi yang menyatakan mengikut undang-undang bahawa mereka menarik diri daripada menyokong kerajaan.”

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengulas kedudukan kerajaan PN, selepas Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin serta-merta.

Ditanya pendirian PAS berhubung keputusan Umno itu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS berkata, pihaknya tetap dengan pendirian untuk memperkasakan Muafakat Nasional serta mempertahankan PN.

“Ini kerana kerajaan (PN) dibina bersama parti-parti yang menyokong dan bukan satu, tetapi lebih daripada 10 parti yang menyokong kerajaan yang ada kini.

“PAS tidak nampak ada satu masalah untuk mempertahan kedudukan kerajaan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/10/kerajaan-pn-masih-sah-kata-takiyuddin/

BACA JUGA : Zahid Hamidi masuk PKR?, ini penjelasan PKR