Dari RM7.4 billion, keuntungan Khazanah susut kepada RM2.9 billion

Dari RM7.4 billion, keuntungan Khazanah susut kepada RM2.9 billion

Keuntungan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menyusut kepada RM2.9 bilion pada tahun 2020 berbanding RM7.4 bilion pada tahun 2019.

Dalam Ulasan Tahunan Khazanah 2021, Khazanah memaklumkan syarikat pelaburan kerajaan itu meraih hasil pelupusan yang lebih rendah pada tahun 2020 iaitu RM2.7 bilion berbanding RM9.9 bilion pada tahun 2019.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan bagaimanapun berkata, pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburannya meningkat kepada RM5.2 bilion daripada RM3.8 bilion.

“Prestasi kami pada tahun 2020 dicapai berlatarbelakangkan suasana ekonomi yang mencabar serta impak pandemik COVID-19, yang belum pernah dilalui sebelum ini, pada operasi.

“Sungguhpun demikian, usaha yang kami mulakan beberapa tahun lepas telah banyak membantu kami untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi.

“Kami juga telah mengenal pasti beberapa peluang pelaburan yang baik ketika berada dalam tempoh pandemik ini serta ketidakstabilan pasaran akibat daripadanya.

“Khazanah terus mempelbagaikan portfolio globalnya sambil kami membina nilai mampan untuk Malaysia, selari dengan mandat jangka panjang kami,” katanya dalam ulasan tersebut.

Laporan itu turut menyatakan, kesan daripada pandemik COVID-19 turut menyaksikan peruntukan bagi rosot nilai meningkat kepada RM6.0 bilion, terutamanya bagi aset penerbangan dan perhotelan miliknya, berbanding RM4.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagi tahun 2020, beliau memaklumkan Khazanah mengisytiharkan dividen RM2.0 bilion kepada kerajaan, berbanding dividen RM1.0 bilion yang diumumkan kepada kerajaan pada 2019.

Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/keuntungan-khazanah-susut-kepada-rm29-bilion-286075