Dapat bantuan RM1,000 tapi sewa roro saja dah RM300, keluh mangsa banjir

Dapat bantuan RM1,000 tapi sewa roro saja dah RM300, keluh mangsa banjir.Genap seminggu berlalu, namun rasa marah mangsa banjir Taman Sri Muda terhadap kerajaan dan pihak berkuasa masih menebal dan meluap-luap.

Rata-rata mereka yang ditemui FMT menceritakan pengalaman ngeri, termasuk berlapar hampir dua hari dan ‘berdoa banyak-banyak’, semasa terperangkap dalam rumah digenangi air pada Sabtu dan agensi penyelamat awam tidak kunjung tiba.

“Bila tanya kenapa (lambat sampai), dia kata ‘oh…tunggu arahan’. Arahan siapa? Kerajaan persekutuan pun kata, ‘oh…ini (hal) kerajaan negeri’. Kerajaan negeri pula cakap, ‘kami tak dapat arahan’. Kami ini (mangsa banjir) teraniayalah,” kata mangsa banjir, Gobi, kepada FMT.

Gobi, seorang pemandu e-panggilan, merasakan mangsa banjir Taman Sri Muda teraniaya.

“Masalah tak ada arahan. Nampaknya SOP lebih penting daripada nyawa. SOP, sistem, dan peraturan kerajaan lebih penting daripada rakyat,” kata beliau.

“Kerajaan lambat bertindak. Sabtu malam, kita perlu bot dia (kerajaan) tak kasi bot. Hari Ahad (pun) kami minta tolong, hari Isnin (baharu) mereka hantar 20-30 bot, buat apa?

“Orang (mangsa banjir) ada ribu-ribu orang. Tapi bot kerajaan hanya 10-20 bot, macamana? Bila tengok perarakan Merdeka, macam-macam jentera ada. Tapi bila nak tolong (kami), tak ada pula,” katanya kesal.

Taman Sri Muda yang dikatakan sarat dengan masalah sistem pengairan dan saliran lemah, antara kawasan paling teruk dilanda banjir di Selangor. Kawasan itu ditenggelami air selama lima hari dengan banyak kediaman mengalami kerosakan teruk.

Gobi berkata bantuan RM1000 yang diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob jauh daripada memadai, malah tidak boleh menampung kos pembersihan rumah sekali pun.

“Kerajaan kata nak bagi RM1,000. ok. Tong (sampah roro) ini pun dah RM300 sekali penggunaan. Paling-paling kita pakai dua kali. Sudah RM600. Siapa nak bayar duit? Kita panggil orang tolong (cuci kesan banjir), kita bayar. RM1,000 untuk cuci pun tak cukup. Saya punya kerugian RM40,000 hingga RM50,000 ringgit.

Longgokan sampah di kiri dan kanan jalan di depan rumah mangsa banjir.
“Kami tak nak salahkan siapa-siapa tapi kami tersinggung. Tengok Sri Muda sekarang, sudah jadi macam tong sampah. Majlis Bandaraya Shah Alam kata nak hantar orang, nak hantar lori (untuk angkut sampah). Tapi bila?” soalnya.

Seorang lagi mangsa banjir, Safida, 40, berkata keluarganya berlapar hampir dua hari sehinggalah dia memuat naik status di Facebook meminta makanan.

Safida, seorang akauntan, meminta makanan di Facebook selepas hampir dua hari keluarganya berlapar.
“Kami tak ada makanan dari hari Sabtu, Ahad petang baru dapat makanan. Itupun kami buat posting dekat Facebook kata kami tak ada makanan,” ceritanya sebak.

Safida bersetuju usaha menyelamatkan mangsa banjir dipelopori oleh orang awam dan bantuan kerajaan hanya menyusul kemudian.

“Kita pun nampak mereka (pihak berkuasa) berkumpul kat sana (checkpoint 1), tapi tak nampak mereka (buat misi menyelamat) di kawasan ini. Mungkin mereka ke sebelah sana. Tak pasti. Tapi banyak kawasan ini, orang individu sahaja datang bagi bantuan,” katanya.

Kemusnahan harta benda penduduk Sri Muda dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
Namun sukarelawan persendirian yang masuk lokasi banjir berdepan risiko tersendiri.

“Banyak bot persendirian, tapi mereka tak ada jaket keselamatan. Ada sekali tu bot terbalik, dalam tu ada kanak-kanak. Kami menjerit beritahu ada bot terbalik. Kebetulan ada bot di belakang mereka. Mereka selamatkan.”

Ditanya rasional kenyataan pihak berkuasa bahawa mereka berada di kawasan banjir sejak hari pertama namun menunggu hingga keadaan selamat untuk menggerakkan misi menyelamat, ini jawapan Safida.

“Selamat untuk mereka (agensi kerajaan) atau selamat untuk kami (mangsa banjir)? Itu kita nak tanya.”

Seorang lagi mangsa banjir, Wan K, 45, berkata dia bernasib baik kerana sempat mengharungi air banjir paras lutut untuk ke kedai dan membeli bekalan makanan untuk isteri dan anak-anaknya.

Wan K mengharungi banjir demi mendapatkan makanan untuk keluarganya.
“Alhamdulillah saya sempat. Masa air paras lutut, saya sempat ke luar (ke kedai) untuk beli makanan untuk anak isteri. Bertahanlah sampai esoknya.

“Masa kejadian (banjir) memang dengar orang minta tolong…’tolong…tolong lapar’. Tapi apa yang ada la kami makan. Sampai kurma pun kami makan dan doa banyak-banyak bantuan sampai,” kongsinya.

Hari ketujuh, mangsa banjir yang menghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (J) Tamil, Ladang Emerald, mula pulang ke rumah masing-masing, untuk mencuci kesan banjir.

Tinjauan wartawan FMT mendapati, longgokan sampai membukit di kiri dan kanan jalan. Sementara penduduk sibuk mencuci kediaman masing-masing. Kelihatan juga sukarelawan NGO datang membantu membersihkan rumah mangsa.

BACA JUGA:

Individu pulang umrah wajib pakai gelang pengesan digital – Khairy
Rakyat Malaysia dijangkiti Omicron lepas masuk Indonesia, KKM mulakan siasatan

Artikel ini disiarkan pada 26/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)