Dakwaan PH haluan kiri, Dr Dzulkifli bidas Wan Saiful.Jarang-jarang mengulas tentang politik negara, hari ini Pengarah Strategi AMANAH Nasional, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad tampil menempelak Wan Saiful Wan Jan susulan kenyataannya yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) membawa fahaman berhaluan kiri sehingga menyebabkan Bersatu memutuskan untuk keluar dari gabungan itu.
Dzulkefly secara sinis menyindir Ketua Penerangan Bersatu itu dan berkata, puak yang dahulunya memberi amaran agar tidak berpolitik semasa Covid-19 nampaknya yang paling kuat berpolitik.
Beliau juga menyifatkan tuduhan Wan Saiful kepada PH agak berat.
“Dulu katanya PH ‘tak cukup Islam dan tak cukup Melayu’.
“Tiba-tiba sekarang kata PH berhaluan kiri pula. Berat juga tuduhan ini. ‘Memang lidah tidak bertulang.’
“Yang kata jangan berpolitik semasa Covid-19 yang paling kuat berpolitik. Rakyat tahu,” ciapnya di Twitter hari ini.
Pada semalam, Wan Saiful berkata, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar dari PH pada 24 Februari 2020 adalah kerana parti-parti besar di dalam gabungan tersebut membawa ideologi berhaluan kiri.
Menurutya, ia bertentangan dengan agenda Bersatu yang memperjuangkan Melayu, Bumiputera dan Islam sebagai teras kemakmuran negara.
Beliau berkata, Bersatu mengambil risiko untuk kehilangan kedudukan kuasa, namun demi memastikan prinsip, mereka dapat mempertahankan kedudukan mereka dengan bergabung bersama Pas, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Berita Penuh : https://malaysiadateline.com/dakwa-ph-haluan-kiri-tuduhan-wan-saiful-berat-memang-lidah-tidak-bertulang-kata-dzulkefly/