Covid-19: PN tak main politik, cuma sibuk agih jawatan untuk orang politik

Covid-19: PN tak main politik, cuma sibuk agih jawatan untuk orang politik

Diharapkan PH berhentilah dulu berpolitik di musim covid 19 ini. Pihak kerajaan sedang berusaha keras pada masa ini. Siang dan malam pula pimpinan PN bermesyuarat untuk memastikan semua ahli parlimen yang bersama PN mendapat balasan jawatan sewajarnya kerana bersama PN.

Untuk kekal menjadi kerajaan, Perikatan Nasional perlu ada 112 ahli parlimen. 72 orang ahli parlimen dah dapat jawatan. Terbaru ahli parlimen Sabak Bernam. Dapat jadi Pengerusi PERKESO.

Tinggal lagi perlu lantik 40 ahli parlimen saja lagi. Boleh bagi jadi duta bertaraf menteri ke lima lagi benua yang belum ada Duta Khas bertaraf menteri, boleh juga dilantik jadi Pengerusi GLC ataupun dilantik penasihat bertaraf menteri. Cukuplah buat modal nak hadap sidang parlimen bulan 5 nanti. Mana tahun tiba-tiba Tun Mahathir atau Anwar Ibrahim bawa undi tidak percaya. Susah nanti.

Kerajaan juga sedang berusaha menamatkan semua lantikan kerajaan PH dalam semua agensi dan GLC. Termasuklah semua professional yang dilantik sebelum ini untuk digantikan dengan wakil parti politik di bawah Perikatan Nasional. Tokoh NGO kemanusiaan dipecat dari genasi yang menjalankan kerja kebajikan. Ini adalah dibuat demi kebaikan rakyat dan tidak sewajarnya isu ini dipolitikkan.

Jadi berhentilah dahulu berpolitik. Biarkanlah PN selesaikan dahulu semua lantikan ini.

Itulah juga yang berlaku bila negeri-negeri yang tidak bersama PN tidak dipanggil ke mesyuarat peringkat kebangsaan mengenai Covid19. Sebenarnya kebetulan sahaja negeri-negeri yang tidak dipanggil itu di bawah PH. Kebetulan juga hanya negeri-negeri di bawah PN sahaja yang dijemput bermesyuarat. Jadi berhentilah dahulu berpolitik.

Sepatutnya rakyat semua mengikuti nasihat kerajaan dan berhentilah berpolitik. Nasihat agar minum air suam untuk membunuh kuman Covid19 adalah nasihat yang baik. Kenapa ada pakar perubatan tolak? Berhentilah berpolitik di masa ini.

Kerajaan inginkan anda bahagia disamping keluarga di masa ini. Isteri-isteri wajar bersolek dan memakai pakaian pejabat ketika buat kerja di rumah dan bercakap dengan suara doraemon dengan suami. Ini semua nasihat yang baik. Jadi berhentilah berpolitik.

Kita juga kesal kenapa surat membenarkan operasi edar Heineken dan Carlsberg menjadi isu politik. Dengan segera Mufti Perlis bermain politik dan menuduh KSU memanda-mandai dan mengeluarkan kelulusan tanpa menteri berkenaan maklum. Teruk KSU itu diserang dan akhirnya ditukarkan ke posisi lain dalam kerajaan. Akhirnya kenyataan oleh Timbalan Meneri KPNHEP menjernihkan keadaan. Rupanya memang Menteri maklum dan sedar akan kebenaran edar stok arak itu. Jadi berhentilah mempolitikkan isu ini.

Sepatutnya di masa sekarang ini politik dihentikan dahulu. Surat yang dihantar oleh Presiden PAS kepada semua ketua gerakan-gerakan Islam seluruh dunia bukanlah suatu surat politik. Surat itu hanya menuduh PH didalangi kuasa barat, mendapat sokongan penuh dari kuasa luar, dipengaruhi freemason, penuh dengan agenda kristianisasi serta Islam Liberal. Jadi kerana itu Pas perlu bertindak bersama PN dan bergabung bersama BN demi menyelamatkan Malaysia. Surat itu langsung tidak menyentuh mengenai politik Malaysia. Surat itu hanya menyentuh mengenai pentadbiran Negara Malaysia dan parti-parti yang ada dalam Negara Malaysia di mana PAS juga adalah salah sebuah parti di Malaysia. Jadi tidak timbul keperluan untuk mempolitikkan surat itu. Jadi pembangkang sepatutnya berhentilah berpolitik di masa Covid19 ini.

Contohilah PN yang langsung tidak bermain politik masa ini. Bersama kita penuhi tanggungjawab kita di masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dengan duduk di rumah dan berhentilah dahulu berpolitik!