Covid-19 : Majoriti kluster di negara kita adalah libatkan perkilangan

kluster

Covid-19 : Majoriti kluster di negara kita adalah libatkan perkilangan. Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 1,549 daripada 2,913 kluster yang direkodkan sejak permulaan fasa kedua gelombang ketiga iaitu Minggu Epidemiologi ke-13 pada 28 Mac lalu adalah kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga sub-kluster tempat kerja tertinggi yang dilaporkan dalam tempoh itu melibatkan sektor perkilangan, 780 kluster; sektor perkhidmatan, 260 kluster dan sektor pembinaan, 181 kluster manakala bakinya adalah lain-lain.

“Sebanyak 1,549 kluster tempat kerja melibatkan 133,247 kes positif Covid-19 selepas seramai 490,983 individu disaring, 32 kes masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), 370 kes kematian dan 764 kluster masih aktif dan di bawah tempoh pemantauan wabak.

“Tiga negeri yang melaporkan kluster tempat kerja tertinggi adalah Selangor iaitu 414 kluster bersamaan 26.7 peratus diikuti Johor, 322 kluster bersamaan 20.8 peratus dan Kuala Lumpur, 149 kluster bersamaan 9.6 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, bagi kluster komuniti pula, walaupun ada larangan bagi mengadakan majlis sosial atau menerima pelawat dan tetamu, masih ada dalam kalangan anggota masyarakat yang menjalankan aktiviti ziarah menziarahi atau berkumpul dalam majlis hingga mencetuskan kluster baharu.

kluster

Katanya, bagi tempoh yang sama dengan pertambahan kluster tempat kerja, sebanyak 880 kluster komuniti melibatkan 58,776 kes positif Covid-19, 14 kes Unit Rawatan Rapi (ICU), 417 kematian dan 439 kluster masih aktif.

“Tiga negeri yang melaporkan kluster komuniti tertinggi adalah Kelantan, 239 kluster bersamaan 27.2 peratus; Sarawak, 171 kluster bersamaan 19.4 peratus dan Sabah, 94 kluster bersamaan 10.7 peratus.

“Kajian mendapati kluster komuniti ini berpunca daripada penularan jangkitan dalam kalangan ahli keluarga atau kontak rapat seperti aktiviti ziarah-menziarahi keluarga atau penularan di kawasan kediaman iaitu 481 kluster, komuniti di rumah panjang (44 kluster) dan majlis sambutan perayaan (55 kluster),” katanya.

Beliau berkata, semua pihak wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa sebelum ini sehingga membawa kepada banyak kematian akibat Covid-19 serta penutupan pelbagai sektor ekonomi dan sosial berikutan peningkatan kluster di tempat kerja dan kluster komuniti.

“Kita seharusnya sama-sama mengambil rasa tanggungjawab dalam memelihara negara daripada terus dibelenggu pandemik Covid-19,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/majoriti-kluster-kerana-pengilangan-dan-aktiviti-ziarah/

BACA: Masa depan Bersatu malap dalam PRU15, kata penganalisis