Covid-19 : Kes kategori 1,2 dikhuatiri bakal melonjak

Covid-19

Covid-19 : Kes kategori 1,2 dikhuatiri bakal melonjak.Sikap orang ramai yang alpa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik dikhuatiri akan mengakibatkan kes jangkitan baharu Covid-19 bagi kategori satu dan dua akan melonjak apabila Malaysia memasuki fasa endemik tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, lonjakan kes kategori satu dan dua tidak akan diketahui umum.

“Ia kerana tiada lagi statistik jangkitan harian bagi kategori itu dikeluarkan apabila fasa endemik nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu tentang sikap alpa orang ramai yang tidak menunjukkan sijil vaksin sebagai syarat wajib untuk masuk ke kedai selain peniaga juga didapati tidak ambil peduli terhadap pematuhan SOP berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, lonjakan kes kategori satu dan dua itu berlaku kerana ketika ini hampir majoriti penduduk dewasa negara ini telah divaksin.

Katanya, apabila ramai telah divaksin, kalau jangkitan berlaku pun komplikasinya terhadap seseorang individu tidak pada tahap serius dan hanya pada tahap satu dan dua.

Covid-19

“Ia kerana antibodi yang yang terbentuk selepas lengkap vaksinasi melindungi diri mereka daripada komplikasi yang serius seperti kategori tiga, empat dan lima.

“Apa yang perlu rakyat fahami adalah walaupun kita telah lengkap menerima vaksinasi, kita tetap boleh dijangkiti Covid-19 dan kita boleh menjangkiti orang lain.

“Sebab itu, jangkitan tetap boleh meningkat walaupun ramai yang telah lengkap divaksinasi jika kita mengabaikan SOP yang ditetapkan,” katanya.

Namun begitu, Dr Hanafiah menjelaskan, sekiranya peningkatan kes Covid-19 berlaku ketika endemik, keadaan tersebut tidak akan membebankan sistem kesihatan negara.

Menurutnya, ia kerana pesakit tidak dimasukkan ke hospital dan hanya perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Bagaimanapun saya harapkan ketika fasa endemik nanti statistik kes Covid-19 kategori tiga, empat dan lima masih lagi dikeluarkan kerana ia masih penting,” katanya.

Justeru itu, beliau menasihati orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan terutama SOP asas iaitu memakai pelitup muka di tempat awam, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap membasuh serta menggunakan pensanitasi tangan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/164812/KHAS/Covid-19/Khuatir-lonjakan-kes-kategori-satu-dua

BACA: Warga emas hanya mampu lihat mayat suami mereput dalam rumah di Sungai Petani

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] BACA: Covid-19 : Kes kategori 1,2 dikhuatiri bakal melonjak […]