Korea Selatan teruskan pilihanraya umum walau sedang bergelut Covid-19

Korea Selatan teruskan pilihanraya umum walau sedang bergelut Covid-19

Pada hari ini Korea Selatan merekodkan 9,976 kes disahkan COVID-19 dengan 169 (1.7%) kematian. Sejumlah 5,828 (58.4%) kes kini pulih dan 3,979 (39.9%) yang masih aktif.‬

‪Di sebalik ancaman wabak COVID yang terus menular kian menghampiri sejuta kes (terkini 938,565 kes) dan 47,303 kematian di dunia, Korea Selatan mempertahankan hak rakyatnya bagi meneruskan pilihanraya umum Parlimen pada 15 April 2020.‬

‪Pilihanraya umum 15 April itu akan memilih 300 orang ahli-ahli Parlimen Korea Selatan, dengan 253 daripadanya dipilih mewakili kawasan dan 47 lagi menerusi sistem perwakilan berkadar (proportional representation).‬

‪Korea Selatan kini menjadi negara No.2 Asia paling tinggi jumlah kes COVID-19 selepas China (dengan Malaysia No.3 Asia).‬

‪Kerajaan tidak menguatkuasakan sebarang perintah sekatan pergerakan atau lockdown di Korea Selatan. Rakyat hanya diminta melakukan penjarakan sosial dan memakai topeng muka bagi mengelakkan diri daripada jangkitan COVID-19.‬

‪Suruhanjaya Pilihanraya Korea Selatan berkata, ia akan pastikan setiap pemilih berdaftar akan diberi peluang mengundi, termasuk para pesakit COVID-19 di hospital dan pusat rawatan.‬

‪Segala langkah diambil bagi memastikan pengundian akan berjalan lancar pada 15 April.‬

‪Pemilih yang layak, termasuk warga yang berusia 18 tahun pada hari mengundi, dikehendaki berdaftar.‬

‪Sebanyak 18,000 pusat mengundi disediakan dan akan menjalani proses disinfeksi dan dilengkapkan dengan peralatan saringan virus dan nyahkuman.‬

‪Semua pemilih mesti memakai topeng muka ketika pergi ke pusat mengundi, menggunakan cecair pembersih tangan dan sarung tangan yang disediakan semasa mengundi, dan mesti menjarakkan diri dari pemilih yang lain.‬

‪Apabila memasuki pusat mengundi, pemilih akan diperiksa suhu mereka dan sesiapa yang didapati demam akan diarahkan ke tempat mengundi berkuarantin khas.‬

‪Pemilih digalakkan menjadi pengundi awal untuk mengurangkan kesesakan pada hari mengundi, dan pemilih dibenarkan membuang undi dua hari lebih awal di mana-mana pusat mengundi dalam negara.‬

‪Suruhanjaya Pilihanraya Korea Selatan berkata, segala persiapan juga dilakukan bagi membolehkan para pesakit COVID-19 mengundi di hospital, pusat-pusat rawatan atau di rumah, dan bas-bas khas yang dilengkapi dengan peti undi akan dihantar ke tempat-tempat tersebut.‬

‪Di samping itu, para pesakit COVID-19 seramai 4,000 orang itu digalakkan berdaftar sebagai pemilih tak hadir untuk mengundi secara pos.‬

‪Suruhanjaya itu menyatakan, mereka membuat persediaan rapi supaya rakyat dapat menunaikan hak masing-masing dalam apa jua situasi.‬

‪Sementara itu, kempen pilihanraya umum Parlimen Korea Selatan secara rasminya bermula pada hari ini, Khamis, 2 April 2020 selama dua minggu.‬

‪Calon-calon diwajibkan memakai topeng muka dan ditegah berjabat tangan dengan pengundi. Calon dan parti-parti dilarang samasekali mengadakan rapat umum, dan hanya dibenarkan berkempen dari dalam kenderaan yang dilengkapi alat pembesar suara.‬

‪Apa yang signifikan dalam situasi wabak COVID-19 kini, Korea Selatan menzahirkan di dunia sebagai negara terkemuka demokrasi. Pilihanraya tetap diteruskan pada 15 April ini, meskipun wabak COVID-19 boleh dijadikan helah bukan sahaja untuk menangguhkan pilihanraya, malah menguatkuasakan pelbagai rintangan untuk mencengkam demokrasi.‬

‪Negara-negara yang mencengkam demokrasi dengan memperalatkan wabak COVID-19 kini, hakikatnya adalah berkerajaan diktator, tak demokratik dan menidakkan “rule of law”.‬

‪Rakyat perlu sentiasa berwaspada dengan Kerajaan sedemikian.‬

COMMENTS