Conteng dinding ‘Kerajaan Gagal’, lelaki ditahan polis

Conteng dinding ‘Kerajaan Gagal’, lelaki ditahan polis

Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes khianat menconteng dinding beberapa bangunan di kawasan itu dengan perkataan ‘kerajaan gagal’.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tahanan ke atas individu itu dibuat sekitar jam 3.45 petang di kediamannya di Taman Sungai Mas di sini pada Ahad.

“Anggota pemantau Op Covid-19 telah pergi ke rumah lelaki terbabit dan hasil soal siasat, lelaki itu telah menunjukkan peralatan yang digunakan untuk membuat tulisan pada dinding-dinding bangunan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan ke atas lelaki itu dibuat bagi siasatan kes mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Gambar tular di media sosial yang menunjukkan kawasan awam diconteng dengan tulisan ‘kerajaan gagal’.

Menurut Osman, polis turut membuat rampasan terhadap peralatan berkenaan iaitu satu blok tulisan kerajaan gagal, satu tin spray berwarna hitam dan sebuah kereta jenis Toyota Avanza.

“Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu pagi ini (Isnin) di Mahkamah Taiping,” katanya.

Pada Ahad, tular di media sosial beberapa keping gambar menunjukkan kawasan awam diconteng dengan tulisan ‘kerajaan gagal’ antaranya di taman permainan dan dinding yang menempatkan lukisan grafiti.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/140146/BERITA/Semasa/Lelaki-conteng-kerajaan-gagal-di-dinding-ditahan