Cadangan larangan rentas negeri sehingga 80 peratus rakyat divaksin dapat bantahan

Cadangan larangan rentas negeri sehingga 80 peratus rakyat divaksin dapat bantahan

Sebuah gabungan yang melibatkan 262 persatuan peniagaan dan dewan peniaga dan perdagangan meminta kerajaan supaya mengkaji semula saranan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang mencadangkan larangan merentas negeri dan daerah dikekalkan sehingga 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia divaksin.

Sambil menyatakan rasa terkejut, gabungan tersebut – yang dikenali sebagai ‘Business Survival Group’ merangkumi 950,000 usahawan dan ahli peniaga seluruh negara – menyifatkan saranan Noor Hisham sebagai sangat menakutkan dan memberi impak negatif kepada sektor perniagaan.

“Kami terkejut bahawa kenyataan oleh Noor Hisham tidak memiliki pandangan yang seimbang di mana dia perlu berhenti melihat strategi menangani pandemik seperti sekatan perjalanan antara negeri sebagai situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Kenyataannya menakutkan pelanggan dan memberi kesan kepada perniagaan secara keseluruhan.

“Maka, kami gesa kerajaan membenarkan perjalanan merentas negeri dan daerah dengan segera,” kata pengerusi penaja gabungan itu Abdul Malik Abdullah dalam sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, dua penasihat Business Survival Group, Presiden Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA) Richard Koh dan Pengarah Urusan Mydin Dr Ameer Ali Mydin.

Ahli lain gabungan itu yang hadir termasuklah Setiausaha ASEAN Retail Chains & Franchise Federation (ARFF) Raymond Woo, Timbalan Presiden Malaysia Retailers Association (MRA) Raymond Teo, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Uzaidi Udanis, Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Dr A T Kumararajah, dan wakil Persatuan Francais Malaysia, Sofia Leong Abdullah.

Terdahulu, pada 26 Feb, Noor Hisham berkata bahawa sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah berkemungkinan akan dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat diberi suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, Dr Ameer Mydin berkata bahawa kerajaan perlu seimbang antara kehidupan dan mata pencarian.

“Ini penting. Kita tidak boleh terlalu berhati-hati. Ia memberi kesan kepada keseluruhan rantai bekalan.

“Kalau kami tidak ada (peniaga), maka secara tidak langsung kerajaan pun tidak ada. Sekarang pun (perniagaan) kami hidup sebagai nyawa-nyawa ikan, kalau sekatan negeri dan daerah diteruskan lagi untuk setahun (perniagaan) kami akan mati terus,” katanya.

Dia berkata demikian setelah mendakwa bahawa masa yang panjang akan diperlukan sekiranya kerajaan menunggu 70 peratus populasi di Malaysia divaksin sebelum menarik semula larangan merentas negeri dan daerah.

“Masih ada sektor ditutup selepas dikategori sebagai tidak penting.

“Sebagai contoh sektor hiburan seperti penganjuran majlis. Bagi kerajaan, industri ini tidak penting dan masih ditutup. Tapi, bagi pemain industri, ini penting, kerana ini mata pencarian mereka.

“Kerajaan hanya perlu ketatkan SOP sektor-sektor yang dikategori sebagai tidak penting dan semua sektor yang lain untuk memberi peluang mereka menjalankan perniagaan,” katanya.

Business Survival Group dalam pada itu dijadualkan berjumpa Kementerian Kewangan pada Jumaat ini.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/564855