Cabul dua remaja lelaki, peniaga kelapa didakwa di Mahkamah Seksyen Kota Bharu

Cabul dua remaja lelaki, peniaga kelapa didakwa di Mahkamah Seksyen Kota Bharu

Seorang peniaga kelapa didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini dengan pertuduhan mencabul dua lelaki termasuk seorang remaja dalam dua kejadian berasingan Mei lalu.

Mohd Khairul Azuar Muhammad, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja lelaki berusia 16 tahun di sebuah pondok Tanah Perkuburan Nibong, Kampung Padang Kala, Melor jam 9.30 malam pada 16 Mei lalu.

Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Khairul Azuar didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap lelaki berusia 20 tahun tanpa kerelaannya di kawasan hutan Jalan Permatang Sungkai, Pasir Puteh jam 8 pagi, pada 20 Mei lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Mohd Faizuan Sulaiman itu juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana bimbang akan mengganggu mangsa dan saksi.

Terdahulu Khairul Azuar memaklumkan dia mempunyai rekod sebagai pesakit mental dan memohon mahkamah menghantarnya mendapatkan rawatan khas di Hospital Tanjung Rambutan, Perak.

“Sudah banyak kali saya menerima rawatan mental termasuk di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Seremban.

“Kalau boleh saya nak cepatkan buat rawatan,” katanya yang tidak diwakili peguam bela.

Susulan itu Mohd Faizuan berkata, pihaknya akan memohon laporan perubatan penuh dan psikiatri tertuduh.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dijamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tarikh 14 Julai depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/578736