Bukan kepala air tetapi aliran dan banjir puing, kata pakar

Bukan kepala air tetapi aliran dan banjir puing, kata pakar.Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk memetakan laluan aliran puing bagi memudahkan orang ramai untuk lebih peka terhadap laluan aliran puing yang terdapat di negara ini.

Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, kejadian kepala air yang sering dikatakan adalah satu istilah yang salah, tetapi fenomena aliran puing dan banjir puing.

Katanya, aktiviti tersebut jarang diketahui ramai, tetapi agak biasa berlaku di kawasan pergunungan di dunia dan di Malaysia terutamanya jika berlakunya hujan lebat yang berpanjangan sehingga menyebabkan bencana banjir.

“Fenomena aliran puing sudah berlaku beberapa kali, aliran puing Genting Sempah berlaku pada 1995 menyebabkan 25 kematian, tahun 1996 pula berlaku Post Dipang menyebabkan 48 kematian dan termasuk terakhir di Gunung Jerai pada tahun 2021 dan kejadian banjir besar yang berlaku pada 18 dan 19 Disember lalu di Hulu Langat Karak juga berpunca daripada fenomena itu.

“Oleh itu, kejadian aliran puing tidak boleh dielakkan (kerana ia bencana alam tabii), tetapi banyak yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko bencana ini.

“Maka, setiap laluan aliran puing termasuk (kawasan yang dijangka) banjirnya boleh dipetakan, jadi kita boleh tahu zon bahaya, zon kurang bahaya dan zon bebas bahaya.

Bukan kepala air tetapi aliran dan banjir puing, kata pakar

“Namun, sehingga kini belum dipetakan lagi kerana tiada yang kesah mengenai bencana begini di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai negara yang kini kerap dilanda fenomena ‘kepala air’ sehingga mengakibatkan banjir besar dan gelombang kedua di Kelantan, Terengganu.

Tiga daerah di Kelantan, Jeli, Kuala Krai dan Pasir Mas manakala Dungun di Terengganu menjadi jajahan terawal dilanda gelombang kedua banjir selepas paras air sungai-sungai utama naik mendadak akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Di Kuala Krai, fenomena kepala air dilaporkan di Lata Berangin sehingga menenggelamkan beberapa kampung di sekitarnya, namun belum ada mangsa dipindahkan di jajahan itu.

Bagaiamanpun Dr. Ibrahim berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada apa yang berlaku di Jeli dan Kuala Krai di Kelantan adalah dimulakan dengan aliran puing atau banjir biasa.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada berumah di laluan aliran puing bagi megurangkan risiko bencana.

“Di negara maju, mereka membuat kawalan kejuruteraan daripada terimpak atau mengurangkan risiko bencana,” jelasnya.

baca juga :

Tular dakwaan punca banjir kerana pelepasan air empangan di Melaka, ini sebenarnya yang berlaku
Amaran hujan sangat lebat berterusan di Johor mulai hari ini

Artikel ini disiarkan pada 03/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)