Bukan derhaka tapi Agong bertindak atas nasihat kerajaan, kata pemimpin Bersatu

Bukan derhaka tapi Agong bertindak atas nasihat kerajaan, kata pemimpin Bersatu

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menolak tanggapan Umno bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pembukaan Parlimen.

Sebaliknya, kata pemimpin Bersatu itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah tidak ingin memahami Perlembagaan apabila mengugut kerajaan supaya memanggil persidangan Parlimen dalam tempoh 14 hari.

“Negara kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat kerajaan. Tiada soal derhaka atau tidak.

“Ini soal pentadbiran kerajaan yang berasaskan perundangan dan Perlembagaan. Maka apabila tempoh notis memanggil sidang ialah 28 hari, peraturan mana dia rujuk untuk mengugut 14 hari?

“Malahan, Tuanku Raja-Raja menitahkan pentingnya kestabilan politik. Apabila Zahid sengaja menggugat kestabilan politik, siapa yang derhaka?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

“…Terkini kita lihat bukan sahaja menteri, timbalan menteri dan Ahli-Ahli Parlimen daripada Umno telah memberi reaksi, malah pemimpin akar umbi Umno dan komponen BN juga ada yang telah bersuara,” tambahnya.

Semalam, dalam satu kenyataan, semua ahli parlimen BN – termasuk Umno – bersetuju untuk tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya Dewan Rakyat bersidang semula.

Kenyataan itu dikeluarkan Penerangan Umno.

Menurut kenyataan itu BN berpendapat langkah membuka semula parlimen secepat mungkin adalah selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong seperti dizahirkan pada 16 Jun lalu.

Kenyataan itu juga menyebut BN bersetuju agar Dewan Rakyat bersidang mengikut peraturan mesyuarat sedia ada atau mengikut sebarang kesesuaian pindaan yang diperlukan.

Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa ramai ahli Umno yang berbeza pendapat dengan Zahid dan beberapa individu lain yang mengepalai “kempen merungut” dalam negara.

“Orang Umno di akar umbi berpengalaman berpuluh tahun dengan perjuangan politik untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Mereka mahu penyatuan politik Melayu dan menolak usaha membawa DAP menjadi kerajaan, apatah lagi usaha menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/580288