Budaya lompat parti : Pemuda Amanah tegur PKR jangan hipokrit

Budaya lompat parti : Pemuda Amanah tegur PKR jangan hipokrit

Pakatan Harapan secara umumnya boleh bersetuju bahawa tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat adalah pelacuran terhadap sistem demokrasi negara. Membeli dan menjual wakil rakyat merupakan budaya bobrok yang hina lagi keji. Bahkan persundalan ini jugalah yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan runtuh dan merencatkan proses reformasi urustadbir yang sedang berjalan ketika itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung PKR semalam, bertarikh 27 Februari 2021 dengan jelas menyebut bahawa parti berkenaan menolak tindakan lompat parti yang bertujuan ingin melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang. Namun ironinya, pada tarikh berkenaan juga dilaporkan media bahawa PKR telah menerima wakil rakyat yang lompat di Johor; setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini.

Lantas kami mengingatkan PKR agar tidak hipokrit dan berlidah cabang. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain. Politik tikam belakang ini usah dibudayakan. Sebagai rakan gabungan dalam Pakatan Harapan, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh di kemudian hari.

“Memperkukuh Kemakmuran Sosial”
“Memimpin Gerakan Kepemudaan”

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

28 Februari 2021 | 16 Rejab 1442H