Bomba terpaksa hantar bekalan air ke Hospital di Kelantan, krisis air makin parah

Bomba terpaksa hantar bekalan air ke Hospital di Kelantan, krisis air makin parah

Krisis bekalan air yang semakin teruk di Kelantan menyebabkan pasukan Bomba dan Penyelamat terpaksa digunakan untuk membawa bekalan ke Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu bagi membantu krisis itu.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, kerana menghantar bantuan bekalan air kepada hospital yang mengalami masalah terputus bekalan air baru-baru ini.

Jentera Bomba kelihatan di perkarangan Hospital Kota Bharu bagi memberikan bekalan air kepada hospital itu.
Dalam satu video yang disiarkan menerusi saluran YouTube Jeming Hassan itu, beliau memaparkan video dan gambar ketika pihak bomba sedang mengisi bekalan air ke dalam tangki milik Hospital Kota Bharu itu.

Krisis bekalan air semakin meruncing di negeri ini walaupun Menteri Alam Sekitar yang bertanggungjawab hal ehwal air adalah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ahli Parlimen kawasan Kubang Kerian, yang terletak bersebelahan kawasan Kota Bharu.

Kawasan parlimen Kota Bharu pula diwakili oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Lebih memalukan, baru-baru ini dalam suatu dialog bersama pimpinan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, Pengarah Hospital itu sendiri mendedahkan sudah hampir 10 tahun masalah air berlarutan di hospitalnya dan bertanya apakah perancangan pihak kerajaan negeri untuk mengatasi masalah ini dari terus berlarutan,” kata Jeming.

Isu bekalan air terawat yang dialami sebahagian besar rakyat Kelantan sejak sekian lama turut dirasai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini.

Perkara ini diakui Pengarah HRPZII, Datuk Dr Selasawati Ghazali yang memaklumkan masalah bekalan air bersih itu menjejaskan operasi hospital.

Walaupun tiada kejadian pembedahan terpaksa ditangguhkan oleh kerana tiada air atau rawatan terjejas, namun saban hari masalah bekalan air sentiasa menjadi kekangan.

“Masalah air ini dah hampir 10 tahun membelenggu kami.

“Hampir setiap hari, bekalan air hanya mampu bertahan sehingga tengah hari sebelum terputus berikutan penggunaan tinggi di hospital,” katanya ketika ditemui media selepas Program Malaysia Prihatin Sesi Bersama Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Kota Darulnaim baru-baru ini.

Yang membimbangkan beliau juga adalah fakta bahawa Hospital Kota Bharu itu juga menempatkan Wad Diraja yang memberi perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan kepada kerabat Istana Kelantan.

Masalah bekalan air yang berlaku akhirnya tidak hanya menjejaskan kehidupan rakyat seharian, bahkan mungkin turut menjejaskan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kepada pihak kerabat Di Raja Istana Negeri Kelantan.

Jeming bersiaran di hadapan Hospital Kota Bharu kelmarin. Klik untuk tonton video.
“Sudah 31 tahun lebih Pas memerintah Kelantan, sehingga hari ini masalah bekalan air masih berlarutan, apa yang kerajaan Pas Kelantan buat selain dari membeli kereta mewah jenama Mercedes baharu kepada Menteri Besar dan para Exco selain dari menaikkan gaji kepada semua Adun mereka?.

“Sudahlah Pas perintah Kelantan lebih 31 tahun, kini dah setahun pula bersama PN memerintah Malaysia, tapi nak selesai masalah air pun masih tak nampak punca, apatah lagi nak tengok usaha, sampai bila rakyat nak merana”, dakwa Jeming yang juga Ketua AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa itu.

Krisis bekalan air di Kelantan kini sudah mencapai tahap kritikal, apabila bukan hanya rakyat biasa sahaja yang terjejas, bahkan melibatkan semua pihak yang bergantung kepada bekalan air yang disediakan oleh Kerajaan Pas Kelantan melalui AKSB.

“Jika nak selesai masalah air pun gagal, tak usah terus berlagak angkuh dan sombong konon pandai memerintah negeri.

“Sudahlah tak pandai mentadbir negeri, berlagak sombong konon terlalu kuat berkuasa di Kelantan, kini menyusahkan hidup rakyat pula, cukup-cukuplah Pas diberi muka untuk terus bermaharajalela di negeri ini, rakyat mesti ajar mereka,” kata Jeming.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/krisis-air-semakin-teruk-bomba-hantar-bekalan-air-ke-hospital-di-kelantan/