BN senada dengan PH, sidang parlimen perlu disegerakan hormati titah Agong

BN senada dengan PH, sidang parlimen perlu disegerakan hormati titah Agong

Barisan Nasional (BN) mengesyorkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat menyeru Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menghormati titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen dilaksanakan dalam kadar segera.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.

Jelasnya, Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang.

“Barisan Nasional mengesyorkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat menyeru YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk menhormati titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera.

“Apatah lagi setelah Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, BN turut merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, sekiranya diperkenankan, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera.

“Barisan Nasional dengan rendah diri merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong, sekiranya diperkenankan, untuk menitahkan Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ia termasuk Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatanr undang-undang dapat dipelihara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan itu seolah-oleh mencabar pandangan dan titah Yang di-Pertuan Agong dan menghina institusi Raja Berpelembagaan.

“Bersesuaian dengan sumpah menjunjung Perlembahaan yang telah dilafazkan, BN berpegang teguh Ahli Dewan Rakyatnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh kesetian di samping memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

“Dalam perkara ini, BN memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya kenyataan Menteri tersebut menyinggung hati Duli Tuanku,” jelasnya lagi dalam kenyataan itu.

BN jelas Ahmad Zahid, sedia menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sekiranya diperkenan untuk mengadap bagi menyampaikan pandangan bagi pertumbuhan sosioekonomi negara terutamanya rakyat miskin.

Berita penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/bn-syorkan-sidang-parlimen-disegerakan-seru-pm-hormati-titah-agong-286154