Bina lebih banyak sekolah cina, ISMA luah rasa kecewa dengan k’jaan PN

Bina lebih banyak sekolah cina, ISMA luah rasa kecewa dengan k’jaan PN

Menurut laporan berita ini, Dong Zong memuji rancangan kerajaan untuk membina 10 lagi SJKC yang baharu dan ini menunjukkan bahawa kerajaan masih tidak mahu mendengar rintihan rakyat, NGO-NGO dan pakar-pakar pendidikan yang sekolah vernakular memecahbelahkan masyarakat.

Walaupun ramai pakar pendidikan mengatakan ianya bercanggah dengan perlembagaan, namun kerajaan tidak mengendahkannya. Nampaknya kerajaan sayang sungguh pada Dong Jiao Zong, Hua Zong, MCA dan sewaktu dengannya. Apalah yang kerajaan ‘terhutang budi’ sangat kepada mereka ini.

Saya tidak pasti apa sebenarnya tujuan cadangan kerajaan untuk mendirikan 10 SJKC baharu. Jika pertimbangan politiklah yang menjadi perkiraan, tidakkah mereka lupa sebelum PRU 14 dahulu, macam-macam yang kerajaan BN beri untuk pendidikan cina termasuk SJKC baru juga, pun tidak menjamin sokongan masyarakat itu dalam pilihanraya. Sudah-sudahlah membuat sesuatu semata-mata atas pertimbangan politik, sampai sanggup menggadai masa depan negara.

Banyak kajian yang telah dibentang dan didokumentasikan oleh pakar-pakar pendidikan yang membuktikan bahawa kewujudan sistem sekolah vernakular mendatangkan lebih banyak implikasi negatif berbanding kebaikan. Baik dari aspek pemerkasaan bahasa kebangsaan, naratif sejarah negara, pengasingan pergaulan dan perpaduan kaum antara hujah popular mengapa SJKC ini perlu ditolak demi mencapai perpaduan nasional yang diidam-idamkan.

Kalau beginilah sikap bangsa lain, saya bimbang satu hari nanti orang Melayu pula akan menuntut kerajaan mengembalikan semula sistem sekolah aliran Melayu seperti awal tahun-tahun 70an dahulu yang telah dimansuhkan. Alasan mereka orang Melayu mahu belajar sejarah Melayu, Bahasa Melayu, tulisan Jawi dan lain-lain lagi sesuai dengan kehendak mereka tanpa ada bantahan dari pihak lain. Apa gunanya orang-orang Melayu berkompromi dengan mengorbankan sekolah aliran Melayu dahulu jika akhirnya aspirasi pengorbanan tersebut tidak dihargai pun, dengan sekolah-sekolah vernakular semakin diperkasakan? Apakah senario ini yang kerajaan inginkan?

Kita sangat sedih dan kecewa dengan tindakan kerajaan PN ini; harapkan pegar, pegar makan padi.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
25 Ogos 2020

Sumber :