Bilangan rumah untuk dilelong bank meningkat, bilangan muflis bertambah

Bilangan individu muflis sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga Julai lepas (2021) boleh jadi lebih tinggi daripada yang digambarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), kata pakar ekonomi Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff.

Pengurus Pembangunan Perniagaan di Putra Business School (PBS) itu menganggarkan bilangan individu yang tidak mampu membayar hutang, mungkin dua kali ganda lebih ramai daripada data muflis yang direkodkan MdI bagi tempoh PKP iaitu seramai 10,317 orang.

Bilangan rumah untuk dilelong bank meningkat, bilangan muflis bertambah

Katanya, ini ekoran kerajaan pada Ogos tahun lalu telah meluluskan pindaan kepada nilai hutang minimum bagi mengemukakan petisyen kebankrapan, dengan menaikkannya daripada RM50,000 kepada RM100,000, di bawah Seksyen 5 Akta Insolvensi 1967.

Oleh yang demikian, kata Razman, data itu hanya mengira bilangan orang muflis bagi hutang melebihi RM100,000 selepas pindaan itu berkuat kuasa, sedangkan orang muflis – tidak mampu membayar hutang – bagi hutang kurang daripada nilai ambang baru tidak diambil kira.

“Kita tak tahu sebenarnya berapa ramai yang sedang berhutang kurang dari RM100,000 (tetapi tak mampu membayarnya), kalau ikut nilai ambang lama sepatutnya mereka sudah diisytiharkan bankrap, tetapi (kini) belum lagi. Maknanya, kita tak nampak.

“Kemungkinan mereka yang menghadapi masalah kewangan ini mungkin dua kali ganda daripada apa yang dilaporkan, sebab nilai ambang itu telah dinaikkan, jadi ia menyembunyikan ramai yang berhutang dengan teruk, (tetapi) kurang daripada (nilai ambang) RM100,000,” katanya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 27 Sep, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memetik data MdI bahawa seramai 10,317 individu diisytihar muflis sepanjang PKP dari Mac 2020 hingga Julai 2021 – atau 16 bulan – manakala 1,246 syarikat gulung tikar bagi tempoh sama.

Data MdI menunjukkan seramai 3,684 orang muflis bagi tahun 2021 (sehingga Jun), dan 8,351 muflis bagi sepanjang tahun 2020 – ketara rendah berbanding tahun sebelum pindaan dilakukan iaitu 12,051 muflis (2019), 16,482 muflis (2018) dan 18,227 muflis (2017).

Bilangan muflis meningkat 4-6 bulan

Namun, berdasarkan angka oleh MdI itu, Razman menjangkakan bilangan muflis akan menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya untuk tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Ini kerana kadar keberhutangan isi rumah di Malaysia yang tinggi, pada kadar 89.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), untuk separuh pertama 2021.

Ini diburukkan lagi dengan wabak Covid-19 dan PKP, menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan dan punca pendapatan, dengan jumlah pengangguran sebanyak 764,900 bagi suku kedua tahun ini, menyebabkan golongan ini tidak mampu melunaskan pinjaman mereka.

Kata Razman, pasaran rumah lelong yang menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus pada suku kedua berbanding suku pertama tahun ini juga menjadi petanda semakin ramai peminjam tidak mampu membayar pinjaman rumah.

Katanya, berdasarkan kajian tahun lalu, kerajaan menganggarkan tempoh empat ke enam bulan sebagai tempoh untuk individu dan perniagaan dapat pulih selepas ekonomi kembali dibuka.

Untuk rekod, kini semakin banyak kelonggaran diberikan buat pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial, dan semakin banyak juga negeri beralih ke Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara.

Kini, tiada lagi negeri berada di Fasa 1 manakala Lembah Klang menjadi Fasa 3 bermula hari ini.

Muflis, pengangguran – belia harus bersedia

Berdasarkan data muflis dari 2017 hingga Jun 2021 oleh MdI, seramai kira-kira 14,200 orang daripada 58,795 orang muflis terdiri daripada golongan berusia bawah 34 tahun.

Jabatan Perangkaan Malaysia pula menganggarkan seramai kira-kira 546,000 orang daripada 764,900 penganggur terdiri daripada kumpulan umur 15 hingga 34 tahun bagi suku kedua tahun ini.

Pelbagai program kesedaran dan pinjaman khusus untuk belia diperkenalkan bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam lembah kemuflisan, lebih-lebih lagi golongan itu paling teruk terkesan oleh pengangguran.

Bagi Razman, golongan belia harus belajar untuk mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan baru untuk menceburi bidang ekonomi digital dan ekonomi gig.

Dia berpandangan Covid-19 telah mengubah landskap ekonomi khususnya buat golongan belia, dan bidang lebih mampan seperti perkhidmatan kesihatan, pendigitalan, automasi, kecerdasan pintar, dan sebagainya diramal akan menjadi bidang terkehadapan berbanding bidang lain.

“Sesiapa yang memiliki kemahiran dalam bidang-bidang ini akan mendapat manfaat yang tinggi,” katanya.

Belia juga, katanya, haruslah berani menawarkan perkhidmatan berdasarkan kepakaran mereka yang tidak hanya terhad pada pasaran tempatan, tetapi juga pasaran global.

Dia turut mengemukakan syor agar institusi kewangan mengenakan syarat pinjaman agar pinjaman yang dibuat oleh sesuatu perniagaan haruslah digunakan ke arah ekonomi tampak (real economy) bagi menggalakkan pengambilan pekerja baru.

“Bermakna mereka pinjam duit tu untuk engembangkan perniagaan, tambah kilang, lancarkan produk baru. Sebab apabila mereka guna duit itu untuk kembangkan perniagaan dan tambah kilang, bermakna mereka akan tambah pekerja.

“Tetapi kita tak mahu perniagaan mengambil hutan itu sebab nak kambus hutang lama, atau pun hendak membeli saham syarikat lain. Jika begitu, dia tidak menyumbang kepada ekonomi tampak.

“Jadi kita kena pastikan pembiaya kewangan ni memberikan syarat bahawa akan berlakunya pengambilan pekerja baru akibat daripada pembiayaan kewangan mereka tersebut,” katanya.

Dia turut menyarankan kerajaan memberi tumpuan utama terhadap aspek peluang pekerjaan dalam Belanjawan 2022 yang akan datang.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/593566

BACA JUGA : Elak dimarah penyokong sendiri, Pas dilihat cuba ‘bantah’ keputusan cabutan khas judi

COMMENTS

Wordpress (0)