Bicara 1MDB : Mahkamah sekali lagi tolak permohonan Najib

Bicara 1MDB : Mahkamah sekali lagi tolak permohonan Najib.Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram kekal sebagai sebahagian pasukan pendakwaan dalam kes berkaitan 1MDB melibatkan Najib Razak.

Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Najib agar Sri Ram digugurkan sebagai timbalan pendakwa raya dalam perbicaraannya.

Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam beberapa perbicaraan berkaitan 1MDB terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, antaranya kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes rasuah dana RM2.28 bilion.

Najib membuat rayuan setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu memutuskan untuk menolak permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram.

Antara permohonan yang telah difailkan bekas perdana menteri itu untuk tujuan tersebut adalah semakan kehakiman yang ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Ogos tahun lalu.

Mahkamah

Panel tiga hakim hari ini dipengerusikan Yaacob Md Sam. Panel lain adalah Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali.

Panel hakim menyampaikan keputusan setelah mendengar hujah Sri Ram dan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

Antara yang dibangkitkan pasukan peguam Najib adalah Sri Ram berat sebelah dan dalam konflik kepentingan.

Mereka membangkitkan dakwaan pertemuan antara Sri Ram dengan Mohamed Apandi Ali, ketika itu peguam negara, pada Januari 2018.

Apandi sebelum ini mendakwa Sri Ram cuba memujuknya agar memainkan peranan untuk menahan Najib yang ketika itu menjadi perdana menteri.

Peguam juga berkata pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya oleh bekas peguam negara Tommy Thomas sebagai tidak sah, mendakwa surat pelantikan bertarikh 30 Ogos 2018 turut secara salah memberi kuasa penyiasatan kepadanya.

Bagaimanapun Yaacob memutuskan yang Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dengan menolak permohonan Najib.

“Kami berpandangan tiada kesilapan yang boleh dirayu yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan perayu.

“Tiada merit dalam rayuan ini. Kami menolak rayuan ini dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/590470

BACA: Mahkamah tinggi beri amaran, kes rasuah Zahid tidak boleh dikomen di media sosial