Biasa ucapan Mat Sabu diselangi jenaka, tapi kali ni dia begitu serius – AJK Amanah

Biasa ucapan Mat Sabu diselangi jenaka, tapi kali ni dia begitu serius – AJK Amanah

Semua orang kenal Bang Mat suka berlawak. Itulah dia yang menjadikan segenap lapisan orang selesa bergaul dengannya. Lawak santainya merobohkan tembok pemisah antara dia dan kenalannya.

Ketika berucap secara serius pun Bang Mat sempat selitkan sepatah dua kalimah lawak. Orang lena akan celik dan orang khayal akan sedar dengan lawak mudahnya.

Tapi kelmarin, ketika Bang Mat bercakap kepada kami jawatankuasa nasional Amanah tentang kewajipan mengambil balik mandat rakyat yang dirampas melalui tindakan tebuk atap, Bang Mat serius.

Suara, air muka dan gaya duduknya tiada lagi unsur-unsur humor. Suaranya agak tinggi daripada biasa, air mukanya agak berubah dan gaya duduknya seperti seorang panglima tentera yang sedang mangarahkan angkatannya.

“Berpuluh-puluh tahun kita bina jiwa rakyat untuk berani berubah. Bukan sedikit masa dan tenaga kita habis untuk runtuhkan kerajaan korup. Kita berjaya dalam PRU yang lalu hasil kesatuan kita dalam PH. Umno akhirnya tumbang.”

“Kita memerintah, walaupun kita tahu ada kelemahan dalam kerajaan kita, tapi kita belajar dan kita baiki untuk penuhi hasrat dan mandat rakyat. Tiba-tiba kerajaan kita dirampas. Kita nak biarkan begitu saja?”

“Kita mesti ambik balik mandat ini. Bukan kerana kita gila jawatan. Saya tak jadi menteri pun tak apa, asalkan mandat rakyat ini diambil balik dengan segera. Ini soal mandat rakyat, bukan soal jawatan.”

Begitulah lebih kurang ucapan Bang Mat kelmarin. Kami tahu Bang Mat memang serius, dan kami faham rasa hati Bang Mat setelah kerajaan ini tumbang.

Memang semenjak awal tumbangnya kerajaan PH, Bang Mat tak duduk diam langsung. Cuma Bang Mat jenis orang yang suka buat kerja diam-diam. Hanya orang-orang tertentu yang dihubunginya untuk diberi tugasan khusus.

Bang Mat sendiri akan ke hulu ke hilir berjumpa dan berunding dengan pelbagai pihak yang menyokong usaha mengembalikan mandat rakyat ini.

Semua tindakannya dilapor kepada pimpinan samada dalam jawatankuasa pengurusan atau jawatankuasa nasional. Dari sudut disiplin organisasi, Bang Mat sangat prihatin.

Walaupun Bang Mat jenis manusia yang tak lut dengan tohmahan, tapi diharap kiriman ini membuang sentimen dan sangka buruk melulu terhadap Bang Mat dan pasukannya.

Sumber :