Biarlah Sajat nak murtad pun, kata ISMA

Biarlah Sajat nak murtad pun, kata ISMA

Sajat bukanlah siapa-siapa. Sajat tidak ada pengaruh kecuali dalam kalangan yang mabuk kerana menelan hedonisme.

Maka apabila Sajat mengugut untuk keluar agama Islam (murtad), biarlah Sajat dengan jalan yang dipilih. Tidak perlu membuang masa memujuk atau terlebih memikir tentang dia.

Saya sebenarnya rasa loya untuk menulis tentang Sajat. Amat meloyakan. Tetapi terpaksa menulis apabila ada pihak terlebih memberi tumpuan pada isu Sajat, seolah-olah tidak ada isu lain yang lebih penting.

Lebih malang lagi seolah-olah apabila Sajat murtad, gagallah segala usaha institusi agama, birokrat agama dan sekelian pendakwah yang menyeru ke jalan Islam.

Padahal telah banyak terbukti institusi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah banyak membawa golongan seumpama ini kembali ke pangkal jalan.

Tentulah tidak adil kalau Sajat dijadikan pembaris untuk mengukur kejayaan institusi Islam dalam menyebar dakwah Islam. JAKIM telah membuktikan program pemulihan golongan seperti Sajat memberikan hasil yang sangat baik.

Tetapi hanya Sajat memilih untuk tidak pulih, banyak kerenah dan mahu dilayan seolah-olah dia sangat istimewa.

Ternyata bahawa pelakuan Sajat yang menghina Islam, mencabar pihak berkuasa agama seterusnya mengugut hendak murtad hanya kes terpencil. Sangat terpencil.

Pemantapan kefahaman Islam bermula dengan sistem pendidikan rendah, konsistensi institusi Islam dan ekosistem dalam majoriti masyarakat menjurus pada Islam tidak wajar dinilai hanya dengan seorang Sajat.

Tidak perlu ada sesiapa yang merayu kepada Sajat supaya jangan murtad, ini penghinaan kepada Islam seolah-olah Islam ketandusan umat di negara ini.

Memanglah pihak yang anti institusi Islam akan menggunakan isu Sajat murtad sebagai peluru. Biarkan kerana Sajat pun kemungkinan sebahagian daripada puak-puak ini.

Maka pendakwah selebriti pun bolehlah berhentilah memberi kenyataan dakwah yang berjela-jela untuk memujuk Sajat.

Pendakwah selebriti ini mungkin bertambah popular. Pemimpin birokrat agama pun mungkin popular bila bercakap pasal Sajat.

Tetapi apalah ertinya popular dalam kalangan yang hidungnya dicucuk hedomisme? Sajat hanya ikon hedonisme yang sama sekali tidak boleh dijadikan teladan.

Janganlah ada pihak yang hendak tumpang sekaki menganjurkan forum itu dan ini seolah-olah Sajat pencetus isu nasional. Malah mulai sekarang media perlu berhenti menjadi pelobi hedonisme yang membesar-besarkan isu Sajat.

Maka usah terlebih memberi tumpuan pada isu remeh Sajad kerana banyak lagi isu Islam yang menuntut tumpuan dan perhatian.

Watak-watak seperti Sajat sudah berulang kali wujud malah akan terus wujud. Kita perlu bijak menguruskan, pada masa yang sama memastikan tidak ikut ‘menari’ mengikut rentaknya.

Sumber: