Bertanding di Sabah, Pas ‘wala’ dengan Muhyiddin

Bertanding di Sabah, Pas ‘wala’ dengan Muhyiddin

Keputusan Pas Sabah untuk meletakkan calon bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 26 September ini bergantung pada ketetapan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, partinya akan menunggu pengumuman rasmi daripada Muhyiddin sendiri dalam acara yang ujarnya akan berlangsung esok pagi.

Aminuddin memberitahu dia ada menerima jemputan ke majlis yang akan dihadiri wakil pimpinan Pas Pusat itu melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, dia sendiri ternanti-nanti pengumuman Muhyiddin esok. Bagaimanapun, katanya, Pas akan berlapang dada dan menerima apa saja keputusan diambil dengan hati terbuka.

“Itulah (pengumuman esok) yang sahihnya, itulah berita yang tepatnya. Kalau dia (Muhyiddin) kata Pas tak bertanding, tak bertandinglah.

“Kalau dia kata bertanding sekian-sekian kerusi… 10 kerusi, maka Pas (akan) bertanding 10 kerusi,” kata Aminuddin lagi.

Pas sebelum ini menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di 10 kerusi pada 8 September lalu.

Walaupun tidak pernah memenangi kerusi DUN, Pas akan meletakkan calon termasuk Muslimat pada PRN kali ini selain menganggap kawasan seperti Tawau dan Kalabakan sebagai kerusi tradisi.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah dengan penamaan calon pada 12 September ini, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Petang tadi, Perikatan Nasional (PN) melalui Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor, mengumumkan calon mereka untuk bertanding di 29 kerusi.

Walau bagaimanapun, keputusan itu menyaksikan wujud pertembungan dengan BN di sekurang-kurangnya di tiga kerusi.

Sementara itu, Umno pula mengumumkan akan bertanding di 31 kerusi pada majlis yang menyaksikan Bersatu menarik diri dari majlis itu pada saat-saat akhir.

PN menggabungkan parti Bersatu, BN, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/prn-sabah-pas-ikut-cakap-muhyiddin-bertanding-atau-tidak/

COMMENTS