Bersatu ‘warning’ Umno ! Kerajaan di Johor boleh tumbang bila-bila masa

Bersatu ‘warning’ Umno ! Kerajaan di Johor boleh tumbang bila-bila masa

Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Md Nasir Hashim mengingatkan bahawa kerajaan negeri Johor yang diterajui Menteri Besar Hasni Mohammad dari Umno boleh tumbang pada bila-bila masa.

Ini, katanya jika mana-mana dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang membentuk kerajaan negeri kecewa dengan pendirian Umno Johor.

“Bersatu Johor amat kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Johor dalam ucapannya di perhimpunan agung Umno baru-baru ini yang jelas memperlekehkan kedudukan dan sumbangan Bersatu dalam pemuafakatan kerajaan Johor.

“Hingga kini, Bersatu masih lagi parti yang membantu kerajaan Johor sekali gus membolehkan kerajaan negeri berfungsi dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada perhimpunan agung Umno Ahad lalu, Hasni yang juga adalah pengerusi Umno Johor, secara terbuka dikatakan bukan sahaja menghina Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri malah turut memperkecilkan parti berkenaan.

Menurutnya, Umno Johor sedia bertembung dengan Muhyiddin di kubu kuatnya, iaitu kerusi Parlimen Pagoh, pada PRU15. Justeru, Hasni meminta kepimpinan parti memberi kuasa autonomi kepada Umno Johor untuk membuat perancangan menghadapi PRU tersebut.

Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, Hasni sepatutnya lebih matang dan cermat dalam membuat kenyataan membabitkan parti yang mendukung kerajaan Johor hari ini.

“Saya ingin mengingatkan Hasni, sekiranya terdapat mana-mana dua Adun daripada parti yang membentuk kerajaan Johor kecewa dengan kenyataan dan pendirian beliau, kerajaan yang ada sekarang boleh tumbang bila-bila masa.

“Sebagai seorang menteri besar, beliau sepatutnya lebih berhemah dengan menghormati Bersatu sebagai parti yang mendukung kerajaan negeri dan kedudukan beliau sendiri sebagai menteri besar,” katanya.

Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH. Pembelotan seorang sahaja Adun PN dikatakan cukup untuk menyaksikan DUN Johor tergantung.

Hasni dilantik sebagai menteri besar baru bulan Februari 2019 setelah presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang juga Adun Gambir, membawa partinya keluar dari PH.

Dia menggantikan Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu yang dilantik sebagai menteri besar ke-17 pada 14 April, 2019.

Pelantikan menteri besar Johor itu adalah buat kali ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/568767