Bersatu mahu jadi “Abah Besar”, nak Umno ikut telunjuk dia je – Isham Jalil

Bersatu mahu jadi “Abah Besar”, nak Umno ikut telunjuk dia je – Isham Jalil

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyifatkan Bersatu bukan sahaja mahu menjadi ‘Abang Besar’ tetapi ‘Abah Besar’ dalam menerajui kerajaan.

Jelasnya, sebelum ini, BN berusaha sendiri tanpa Bersatu ketika memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan dua Parlimen iaitu Cameron Highlands dan Semenyih.

“Selepas itu kita menang empat lagi pilihan raya di Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River.

“Masa itu (2019) tiada Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu masih dalam Pakatan Harapan (PH) dan mereka (Bersatu) mengepalai kerajaan dan kita telah lawan mereka. Mereka kalah teruk,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, beliau berkata, Bersatu hari ini masih mengepalai kerajaan, bezanya mereka memberikan sebahagian jawatan kepada BN.

“Dan dengan jawatan yang diberi ini, Bersatu bukan sahaja mahu jadi ‘Abang Besar’ seperti yang mereka kata kepada kita, tetapi mahu jadi ‘Abah Besar’ yang lebih berkuasa supaya kita ikut telunjuk mereka.

“Walaupun mereka tidak ada akar umbi dan telah mengkhianati mandat rakyat dengan melompat parti, oleh itu mereka sebenarnya tidak ada keabsahan untuk mentadbir negara.

“Walaupun ada segelintir pemimpin yang sudah berpaling, namun saya yakin kebanyakan pemimpin dalam BN dan Umno tidak akan terpedaya dan tidak akan tunduk kepada ‘Abah Besar’ ini.

“Buat apa kita terima gula-gula darinya kini jika kita dan ‘Abah Besar’ ini ditolak oleh rakyat kelak dalam pilihan raya,” katanya lagi.

Isham seterusnya mendakwa, di bawah kerajaan Bersatu dan PN ketika ini, rakyat semakin sengsara.

“Justeru, kita perlu memperbaiki nasib rakyat dan negara segera. Perdana Menteri dan kerajaan perlu buka Parlimen sekarang.

“Kita (BN) perlu terus cekal, tetap pendirian dan ikhlas berusaha untuk kepentingan rakyat dan negara walaupun pelbagai dugaan, godaan dan cabaran melanda,” katanya

Berita Penuh :https://malaysiapost.com.my/2021/04/06/bersatu-mahu-jadi-abah-besar-isham-jalil/