Bersatu Larut bergolak, tular video bantahan ahli

Bersatu Larut bergolak, tular video bantahan ahli

Tidak berpuas hati dengan lantikan jawatankuasa baharu menjadi antara faktor beberapa ahli parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut mengadakan bantahan yang videonya tular di media sosial pada Selasa.

Ketua Bersatu Bahagian Larut, Mohd Hassuandi Hamzah berkata, kejadian itu berlaku pada 11 April lalu ketika berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa bahagian terbabit di sebuah hotel di Taiping.

Mohd Hassuandi
Menurutnya, pelantikan baharu bagi beberapa jawatan yang dibuat menyebabkan ada kalangan barisan jawatankuasa yang digugurkan berang dan bertindak sedemikian.

“Tidak timbul isu tidak percaya atau sebagainya kerana lantikan jawatan baharu yang dibuat itu adalah mengikut perlembagaan parti dan kita melakukannya semata-mata untuk memantapkan kepimpinan peringkat bahagian.

“Ketika ini kita tidak boleh memikirkan gerak kerja parti sahaja tetapi perlu mengambil kira kerjasama bersama parti kompenan lain dalam Perikatan Nasional (PN), sebab itu perlu ada penambah baikan dalam jawatankuasa bahagian untuk menggerakkan jentera sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya maklum akan bantahan yang dilakukan itu dan telahpun membuat laporan bertulis kepada Setiausaha Agung Bersatu yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, ada kalangan individu yang menyertai bantahan terbabit sebenarnya bukanlah kalangan ahli parti Bersatu seperti dinyatakan.

Mohd Hassuandi (hadapan, tiga kanan) turut mempengerusikan mesyuarat bahagian bersama Pas Kawasan Larut pada 11 April lalu.

“Sepatutnya perkara ini telah selesai, namun tidak pasti mengapa video itu boleh tular sekarang. Kita tidak mahu perkara sebegini berlarutan kerana secara tidak langsung boleh menjejaskan nama parti.

“Apa yang boleh saya nyatakan, kepimpinan peringkat bahagian akan terus beri tumpuan terhadap gerak kerja bersama jawatankuasa yang sedia menyokong,” katanya.

Rakaman video berdurasi 17 saat itu memaparkan sekumpulan lelaki mendakwa jawatankuasa Bersatu Bahagian Larut yang menang bertanding menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Ketua Bahagian mereka.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/134785/BERITA/Politik/Tidak-puas-hati-lantikan-AJK-baharu-punca-bantahan