Bersatu jadi budak suruhan saka UMNO, lebih bermaruah jika bersama PH – Salahuddin

Bersatu jadi budak suruhan saka UMNO, lebih bermaruah jika bersama PH – Salahuddin

Puaka dan saka Umno telah menjadikan betapa malangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama di Johor yang menyaksikan begitu tragisnya lelongan ghanimah hasil rompakan yang menjadikan perjanjian “marriage of convenience” semakin rapuh dan luntur.

Sikap pimpinan Umno Johor yang masih sarat dengan warisan sakanya itu amat mustahil untuk berwajah adil kepada rakan-rakan Bersatu yang mereka anggap sebagai budak-budak suruhan kerana punca kuasa yang menjadikan mereka (PN) berkuasa di Johor itu sendiri adalah dengan cara yang paling tidak bermaruah dan tiada berintegriti.

Kepada rakan-rakan dalam kerajaan PN yang menang atas mandat Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya yang lalu, jalan kebenaran penuh bermaruah masih belum jauh di belakang. Kami kepimpinan PH bersedia untuk menerima anda semua kembali ke dalam keluarga besar PH.

Saya yakin dan percaya, pengalaman kita bersama membina kerajaan PH jauh lebih mulia dan harmoni berbanding dengan apa yang sedang dialami oleh anda semua di dalam kerajaan PN yang semakin parah dengan prasangka dan sengketa. Kembalilah kepada jalan kebenaran. Biar mati berdiri, daripada hidup menghamba diri.

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden
Parti Amanah Negara (Amanah)
30 April 2020