Bersatu ditubuhkan untuk lawan kleptokrat – Wan Saiful

Bersatu ditubuhkan untuk lawan kleptokrat .Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan oleh pemimpin yang sanggup dipecat demi melawan kleptokrat dan kesemua ahlinya tidak akan berkompromi dengan tekanan tersebut.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, justeru, parti telah terbukti apabila istiqamah dan tidak gentar bercakap yang benar walau apapun risiko dihadapi oleh para penggerak parti.

“Anak muda, golongan profesional dan rakyat semua peringkat yang mahu menaikkan pemimpin yang bersih, inilah wadah yang perlu disertai. Kitalah yang boleh menaikkan lapisan baharu dengan agenda yang tulus, baik untuk negara mahupun untuk parti.

“Saya yakin, jika kita membulatkan tekad, memberanikan diri dan memperjelas tawaran kita kepada rakyat, bukan sahaja kita boleh berbangga kerana telah mencapai usia lima tahun pada hari ini, malah, boleh yakin akan terus memimpin di tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini bersempena ulang tahun kelima penubuhan Bersatu yang akan disambut secara rasmi pada Jumaat ini.

Bersatu

Menurut Wan Saiful lagi, Bersatu berbeza dengan parti Melayu kerana ia dibina oleh pemimpin-pemimpin yang sanggup hilang segalanya demi menegakkan integriti dan tadbir urus yang baik.

Katanya, sejak lima tahun lalu, Bersatu telah melalui pelbagai rintangan termasuk ancaman untuk digantung pendaftaran dan kemudian mengambil risiko keluar gabungan demi mengembalikan agenda bangsa dan agama.

“Akibatnya parti berpecah dan hilang tokoh-tokoh awal. Terkini hilang pula kemuncak kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful memberitahu perpaduan politik Melayu bumiputera akan terus diusahakan walaupun ramai mahu merosakkannya dan ia adalah penentu kepada kestabilan negara serta membawa kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, sebarang jajaran baharu yang mengubah identiti teras negara kita adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan.

“Perlu disebut bahawa agenda perpaduan Melayu bukan mengenai politik perkauman sempit tetapi ia untuk membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat yang berbilang bangsa. Malahan keahlian kita sejak awal penubuhan memang terbuka untuk semua,” katanya.

Berita Penuh : https://utusan.news/nasional/politik/2021/09/bersatu-ditubuh-oleh-pemimpin-melawan-kleptokrat/

BACA: Bicara 1MDB : Mahkamah sekali lagi tolak permohonan Najib